oleh: WADINA ANNISA ROSLI AFFANDI
Tanjong malim, Perak, 16 November 2025 – Program FIVE on FIVE: Futsal Tournament merupakan aktiviti sukan yang dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kolaborasi Persatuan Anak Negeri Perlis (PERMAPS) yang telah berlangsung dengan jayanya dan telah melibatkan seramai 112 orang pemain daripada 16 pasukan, yang merangkumi penyertaan dari Kolej Ungku Omar (KUO), Kolej Awang Had Salleh (KAHS) dan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR).
Program ini diadakan bagi memupuk semangat kesukanan, perpaduan serta gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar di Universiti Pendidikan Idris.
Program ini juga memberi ruang untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan mahasiswa yang berpotensi untuk mewakili universiti dalam kejohanan luar.



Aktiviti program ini dimulakan dengan ketibaan peserta dan penonton pada pukul 7.30 pagi. Seterusnya, perlawanan futsal berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang melibatkan 16 pasukan yang bertempat di Arena, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Seterusnya, acara diteruskan dengan majlis penutup dan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Muhamad Rusham Rustan Nursim, Felo Penasihat Exco Sukan dan Rekreasi, serta turut dihadiri oleh para felo Kolej Harun Aminurrashid iaitu Mohd Izzat Abdul Rahman dan Hazman Ya’akob.


Menurut Pengarah Program Five on Five: Futsal Tournament, Aisar Nur Rosli, penganjuran program ini merupakan salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mahasiswa daripada pelbagai kolej, fakulti dan persatuan melalui penyertaan sukan yang sihat dan kompetitif.
Selain itu, program ini turut menyokong amalan gaya hidup sihat dan aktif dengan menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti fizikal dan rekreasi yang bermanfaat.



Program ini juga menjadi inisiatif untuk mencungkil bakat para penghuni Kolej Harun Aminurrashid bagi mewakili kolej dalam Karnival Sukan Pelajar UPSI (SUPER UPSI) pada semester hadapan.
Melalui pertandingan futsal ini, tempat pertama dimenangi oleh pasukan Caderk yang membawa pulang hamper juara, pingat, tuala dan sijil pemenang.
Tempat kedua pula diraih oleh pasukan Abuya FT dengan hadiah berupa hamper naib juara, pingat, tuala dan sijil pemenang.
Pasukan Cuek FT meraih tempat ketiga dengan menerima hamper ketiga, pingat, tuala dan sijil pemenang, manakala tempat keempat menjadi milik pasukan Cuak Tak Chong yang membawa pulang hamper tempat keempat, pingat, peralatan sukan dan sijil pemenang.


Kemenangan ini diraih hasil kerjasama kukuh serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pemain.
Kejayaan ini turut menyerlahkan usaha gigih para peserta serta sokongan padu daripada para penyokong dan rakan sepasukan.
