Oleh: Suriati dan Ishathika Sokalingam

TANJONG MALIM, 28 November 2025 – Program Kongsi Rezeki KHAR: Menyemai Kasih yang dianjurkan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 500 pelajar hadir menerima edaran makanan percuma di parkir Pejabat Pengurusan KHAR.

Program berasaskan kebajikan itu dilaksanakan bagi membantu pelajar yang berdepan tekanan kos sara hidup selain menggalakkan budaya saling menyantuni dalam kalangan komuniti kolej.

Sebanyak 570 set Nasi Ayam Gepuk diagihkan kepada pelajar bermula jam 11.00 pagi, manakala tambahan 70 set makanan dan minuman disumbangkan oleh Abuya Station, Kafeteria KHAR, bagi menyokong penganjuran tersebut.

Tinjauan di lokasi mendapati pelajar beratur dengan tertib sambil disambut petugas dan pentadbiran kolej, mencetuskan suasana harmoni dan penuh rasa syukur. Kehadiran pelajar yang ramai turut menunjukkan keperluan terhadap program berbentuk bantuan makanan di kawasan kediaman universiti.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Che Anuar Che Abdullah, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu pelajar dari sudut kebajikan, malah memberi kesan positif terhadap pembentukan sahsiah mereka.

“Program ini jelas menunjukkan komitmen mahasiswa dalam menggerakkan agenda kebajikan. Ia bukan sekadar edaran makanan, tetapi mencerminkan nilai empati dan semangat kebersamaan yang perlu terus dipupuk dalam komuniti KHAR,” katanya ketika ditemui.

Pihak pentadbiran KHAR sedang mengagihkan makanan kepada penghuni
Para penghuni selesai mengambil makanan

Program tersebut turut menyokong usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2: Kelaparan Sifar, khususnya melibatkan akses kepada makanan dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Dengan kejayaan penganjuran kali ini, Kongsi Rezeki KHAR: Menyemai Kasih dilihat mampu menjadi antara program yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan pelajar, selain mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan pentadbiran kolej.