Oleh : Suriati Dan Nazrul
Tanjong Malim, 30 November – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif apabila menganjurkan pertandingan esukan “CTRL+ALL: Memperkasa Inklusiviti MADANI” yang menghimpunkan peserta dari institusi pengajian tinggi, sekolah pendidikan khas serta komuniti setempat.
Program yang julung kali dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi ini menjadi platform mengangkat semangat keterangkuman selaras dengan agenda Malaysia MADANI, melalui penyertaan peserta daripada latar keupayaan yang berbeza namun bersatu dalam semangat kompetitif dan kolaboratif.
Eksekutif (Sumbangan & Bantuan), dari Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Muhammad Adli Jamiri dalam ucapannya, menyatakan hasrat agar program seperti ini menjadi platform tetap untuk mencungkil bakat belia berkeperluan khas dalam bidang esukan.



“Inklusiviti bukan sekadar nilai, tetapi tindakan. Saya berharap pertandingan ini terus menjadi ruang yang meraikan kemampuan setiap peserta tanpa mengira kekangan upaya, selari dengan roh MADANI,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan KHAR.
Pengetua KHAR, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, pula menegaskan komitmen kolej dalam memperluas peranan institusi pendidikan sebagai pemangkin keterangkuman sosial.
“Kejayaan program ini menunjukkan bahawa apabila peluang diberi sama rata, pelajar berkeperluan khas juga mampu bersaing dan mencipta kejayaan tersendiri,” ujarnya.
Pertandingan yang melibatkan dua kategori – Mobile Legends dan Tekken – berjaya menarik penyertaan 70 peserta Mobile Legends, 16 peserta Tekken, selain 92 pengunjung fizikal. Siaran langsung pertandingan turut mencatat sambutan menggalakkan dengan 2,600 tontonan di TikTok dan 472 tontonan di YouTube.


Penyertaan melibatkan pelbagai institusi termasuk UPSI (2 pasukan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknologi MARA Jasin (UITM) , Universiti Malaya (UM), Politeknik Shah Alam, SMPKV Shah Alam, serta tiga pasukan komuniti.
Dalam kategori Mobile Legends, UPSI ALL STAR (UPSI) dinobatkan sebagai Johan, diikuti LYK X UiTM (UiTM) selaku Naib Johan, manakala UNCROWNED KINGS (UIA) meraih tempat ketiga.
NEO TEAM (UPSI) berada di tempat keempat, sementara VOSCA DELTA (SMPKV Shah Alam) menutup kedudukan lima terbaik, sekali gus menyerlahkan keupayaan pelajar pendidikan khas dalam arena kompetitif.


Program ini turut menerima sumbangan penaja daripada Yayasan Perkasa Siswa (RM2,800), Takbai (RM200) dan Dhia Bakery (RM100) sebagai sokongan terhadap usaha memperkasakan belia melalui esukan.
Sebagai penganjur, KHAR UPSI menyatakan komitmen untuk menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan demi meneruskan agenda inklusif, seiring aspirasi Pendidikan Tinggi MADANI.
