Oleh:Nur Aqilah Mohd Aidill

TANJONG MALIM , 4 Disember 2025 – Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) Sidang 2025/2026 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada barisan mantan kepimpinan serta penasihat yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam Anugerah Keterampilan Pelajar FPM 2025 .

Antara penerima utama yang mengharumkan nama persatuan ialah Dr. Pau Kee, Mantan Penasihat KASIH Sidang 2024/2025, yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penasihat Terbaik. Penganugerahan ini mencerminkan dedikasi serta kepimpinan teliti beliau dalam membimbing dan memperkukuh kredibiliti Persatuan KASIH sepanjang perkhidmatannya. Pengiktirafan ini juga membuktikan komitmen beliau dalam memastikan pembangunan sahsiah dan profesionalisme ahli sentiasa menjadi keutamaan.

Turut menerima pengiktirafan ialah Muhammad Hazim Haziq bin Mohd Rizal, Mantan Naib Yang Dipertua 1 KASIH Sidang 2024/2025, yang berjaya meraih Anugerah Kepimpinan Wacana Intelek. Pencapaian ini merupakan bukti kepada daya kepimpinan beliau yang berteraskan nilai keilmuan, kebijaksanaan berfikir serta kemampuan menggerakkan penglibatan pelajar dalam wacana berimpak tinggi.

Selain itu, Shivendren A/L Selvakumar, Mantan Yang Dipertua KASIH Sidang 2024/2025, turut mengangkat nama persatuan apabila dinobatkan sebagai Anugerah Ikon FPM 2025, salah satu anugerah tertinggi dalam majlis tersebut. Kejayaan ini menggambarkan kepimpinan yang berkarisma, berkualiti dan berkesan sepanjang tempoh kepimpinannya dalam memimpin KASIH.

Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar FPM 2025 turut mengiktiraf Barisan Kepimpinan KASIH Sidang 2024/2025 yang menerima Anugerah Persatuan Terbaik sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan komitmen berpasukan dalam memartabatkan Persatuan KASIH. Pengiktirafan kolektif ini menyerlahkan pencapaian keseluruhan kepimpinan yang berjaya mewujudkan budaya kerja profesional, sistematik dan penuh integriti.

Secara keseluruhannya, kejayaan-kejayaan ini menjadi manifestasi kecemerlangan kepimpinan pelajar dalam KASIH, selain menjadi sumber inspirasi kepada generasi seterusnya untuk terus melakar lebih banyak pencapaian berimpak tinggi. Pihak KASIH berharap agar kejayaan ini dapat menyuntik motivasi kepada semua ahli untuk meneruskan usaha memperkukuh imej persatuan dan menyumbang secara aktif dalam pembangunan sahsiah mahasiswa UPSI.