Oleh: Norazilawati Abdullah
Pattani, Thailand, 15 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Fatoni (FTU) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila kedua-dua institusi giat menawarkan program pendidikan dari peringkat diploma hingga Doktor Falsafah (PhD), khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan latihan keguruan profesional.
Sehingga kini, tiga orang pensyarah FTU dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanakyang merupakan graduan UPSI telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan akademik dan pengajaran.
Pencapaian ini menjadi bukti kukuh terhadap kualiti kurikulum, latihan profesional, serta kebolehpasaran graduan (graduate employability) yang tinggi bagi program pendidikan awal kanak-kanak di kedua-dua universiti.
Permintaan terhadap program Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI dan FTU terus meningkat selari dengan keperluan tenaga pendidik terlatih, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi menjadikan program ini antara pilihan utama pelajar dan institusi pendidikan, termasuk sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak.
Selain itu, UPSI dan FTU turut giat menawarkan Program Diploma Pasca Siswazah Pendidikan (DPSP)sebagai usaha strategik untuk memastikan lebih ramai guru yang berkhidmat di Thailand dan Malaysia memiliki kelayakan ikhtisas keguruan yang profesional.
Inisiatif ini penting memandangkan masih terdapat graduan bukan bidang pendidikan yang sedang berkhidmat di sekolah, namun belum mengikuti latihan pedagogi secara formal.
Melalui penawaran program secara separuh masa, guru-guru berkenaan berpeluang memperoleh diploma pendidikan tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada, sekali gus meningkatkan profesionalisme, kualiti pengajaran, dan pematuhan kepada standard latihan perguruan antarabangsa.
Dalam lawatan kerja delegasi UPSI ke FTU, delegasi telah disambut mesra oleh pihak pengurusan tertinggi FTU, mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh serta komitmen bersama dalam memajukan agenda pendidikan serantau.
Timbalan Rektor FTU Profesor Ahmad Omar Chapakia, turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen berterusan UPSI dalam membangunkan pendidikan berkualiti di peringkat serantau.
Menurut beliau, UPSI merupakan rakan strategik yang diyakini, khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan keguruan.
Beliau berharap agar hubungan akademik antara FTUdan UPSI akan terus diperkukuh sebagai satu model kerjasama universiti serantau yang mampan, berimpak tinggi, dan berorientasikan pembangunan modal insan pendidik untuk masa hadapan.
Pengarah Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, dalam ucapannya menegaskan bahawa hubungan antarabangsa strategik seperti ini adalah selari dengan aspirasi UPSI untuk menjadi hab pendidikan berimpak global.
Menurut beliau, kerjasama UPSI dan FTU membuka ruang luas kepada mobiliti akademik, pembangunan program bersama, serta penyelidikan rentas negara yang memberi manfaat langsung kepada komuniti pendidikan.


Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Profesor Madya Dr Norazilawati Abdullah menyatakan bahawa program-program di fakulti tersebut adalah mantap, berfokus kepada keperluan semasa pendidikan, dan sedia untuk dikolaborasikan bersama rakan antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa sinergi UPSI dan FTUakan memperkukuh pembangunan modal insan pendidik yang berkualiti, professional dan berdaya saing di peringkat serantau.
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh reputasi kedua-dua universiti, malah menjadi platform strategik dalam mempromosikan program pendidikan berkualiti tinggi, memperluas akses latihan keguruan profesional, serta menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kualiti pendidikan di Thailand, Malaysia dan rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.
