Tanjung Malim – Seramai 42 mahasiswa dan mahasiswi kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) AT20A dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melaksanakan Projek Santun Masyarakat bertajuk “Sahabat Siber Sejahtera” di Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City pada 10 Disember 2025.
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman 112 orang murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 yang hadir dalam bidang pendidikan digital dan literasi siber.
Selain itu, ia menjadi platform penting untuk menyantuni masyarakat sekolah melalui aktiviti berfokuskan Teknologi Maklumat dan Kesedaran Siber, sekali gus membina kemahiran digital murid secara beretika serta membangkitkan kesedaran terhadap risiko digital yang semakin kompleks dalam era moden ini.



Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Yusri Abdullah selaku Penasihat Program Projek Santun Masyarakat dan turut dihadiri oleh pengetua sekolah, Zain Khairull Sidek.
Melalui kaedah interaktif tujuh checkpoint, program ini berjaya memberi pendedahan menyeluruh kepada murid tentang Teknologi Maklumat dan kepentingannya dalam kehidupan seharian, etika penggunaan siber yang bertanggungjawab, kesedaran keselamatan digital dan ancaman dalam talian, ancaman Phishing dan penipuan digital dan penggunaan aplikasi kreatif seperti Scratch dalam pembelajaran.
Pihak pengurusan program yang diketuai oleh Twinkle Magdelyn Chrispian menyampaikan penghargaan tidak terhingga kepada warga SMK Proton City atas sambutan mesra mereka.


Penghargaan istimewa turut ditujukan kepada Dr. Yusri Abdullah atas bimbingan dan sokongan moral yang berterusan.
Diharapkan ilmu yang dikongsi akan memberi impak berpanjangan, melahirkan murid yang celik digital, kreatif, dan bertanggungjawab dalam setiap penggunaan teknologi dan media sosial.
