TANJONG MALIM, 21 Disember 2025 — Kolej Awang Had Salleh (KAHS) sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa utama dalam bidang seni dan budaya apabila berjaya mengekalkan gelaran Juara Keseluruhan FREKUENSI 2025, sekali gus mencatat kejayaan dua tahun berturut-turut dalam pertandingan kesenian peringkat universiti tersebut.

KAHS mencatat pencapaian cemerlang apabila dinobatkan sebagai Johan bagi empat acara utama iaitu Sajak, Battle of the Band, Drama Sebabak dan Dikir Barat. Selain itu, KAHS turut meraih Naib Johan dalam acara Kompang, Aerodance, Tarian Zapin dan Nasyid, serta Tempat Ketiga bagi kategori Syair dan Nyanyian Solo Lelaki. Pencapaian menyeluruh ini mencerminkan tahap konsistensi, disiplin serta kualiti bakat seni mahasiswa KAHS.

Pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil ketabahan dan kesungguhan mahasiswa yang berdepan pelbagai cabaran sepanjang persiapan pertandingan. “Walaupun berdepan dugaan, mahasiswa KAHS tidak pernah berputus asa. FREKUENSI 2025 membuktikan kekuatan jiwa, komitmen dan semangat juang mereka dalam mengharumkan nama kolej,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Felo KAHS, Haikal Musa memberitahu bahawa persaingan sengit, khususnya daripada Kolej Ungku Omar (KUO) yang turut meraih empat pingat emas, menjadikan kejayaan ini lebih bermakna.

“Walaupun berdepan kekangan teknikal dalam salah satu kategori pertandingan, semangat berpasukan serta disiplin tinggi mahasiswa KAHS membolehkan kita mencapai kejayaan ini. Kerjasama erat antara pelajar, felo, pentadbiran kolej dan MMK menjadi kunci kemenangan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbiran, felo, Majlis Mahasiswa Kolej KAHS, para jurulatih, peserta serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penyertaan KAHS di FREKUENSI 2025.

Kemenangan dua tahun berturut-turut ini menjadi pemangkin kepada KAHS untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan menjelang FREKUENSI 2026, selari dengan komitmen kolej dalam melahirkan mahasiswa yang kreatif, berdaya saing dan berketerampilan, sekali gus memperkukuh peranan seni sebagai medium pembangunan sahsiah dan identiti universiti.