Tanjong Malim- Pemergian insan tersayang pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan. Menyedari hakikat tersebut, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) terus komited menzahirkan keprihatinan terhadap waris kakitangan yang telah kembali ke rahmatullah melalui pelaksanaan Skim Khairat Kematian UPSI.

Allahyarham Jamsari Mat Nor, yang dilahirkan pada 27 Ogos 1971, telah berkhidmat sebagai Penjaga Jentera Elektrik J3 di Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda UPSI dengan penuh amanah serta tanggungjawab. Ketentuan Ilahi telah menetapkan 9 November 2025 sebagai tarikh Allahyarham dijemput pulang ke sisi-Nya.

Sebagai tanda sokongan dan solidariti, WEZAS telah menghantar wakilnya, Dr. Rosli Mahmud, Timbalan Pendaftar WEZAS, bagi menziarahi keluarga Allahyarham serta menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM11,045.00 hasil daripada pungutan kebajikan warga UPSI.

Diharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Allahyarham, selain menjadi bukti bahawa jasa serta sumbangan Allahyarham sentiasa dihargai oleh pihak universiti. Seluruh warga UPSI turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta para solihin.