Oleh : Nik Nurkhalisha Bahirah binti Zaini
TANJUNG MALIM , 16 JANUARI 2026 — Gerai ‘Lokching’ yang terletak di Café KHAR, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semakin menjadi pilihan pelajar sebagai snek ringan ketika waktu rehat dan selepas sesi kuliah, berikutan rasa yang unik, harga berpatutan, dan suasana santai di kawasan café.
Pemerhatian di café menunjukkan ramai pelajar beratur untuk mendapatkan hidangan popular ini, terutama pada jam 3.00 hingga 5.00 petang. Gerai ‘Lokching’ menawarkan beberapa variasi rasa menarik seperti ayam, daging, dan keju, yang menjadi tarikan utama pelajar dari pelbagai fakulti.
Menurut seorang pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Aisyah Sofia Binti Rahman, 21, gerai ini bukan sahaja menyediakan snek yang sedap, tetapi juga menjadi tempat pelajar berehat dan bersosial selepas kelas.
“Lokching ni simple tapi sedap. Kadang-kadang saya datang dengan kawan-kawan lepas kuliah, bukan sebab lapar je, tapi nak lepak sambil borak-borak,” katanya ketika ditemu bual di lokasi gerai.
Pekerja gerai tersebut, Ainul Fatiha 23, turut menyatakan bahawa sambutan pelajar yang tinggi terhadap gerai ini memberi impak positif kepada suasana kampus.
“Kami pastikan kualiti dan kebersihan terjaga supaya pelajar dapat menikmati snek dengan selesa. Respon positif pelajar memang membantu perniagaan kami berkembang,” katanya.

Selain itu, ramai pelajar menganggap gerai ini sebagai pilihan snek mesra bajet kerana harga satu hidangan hanya antara RM1.5 hingga RM3 sahaj.. Aktiviti membeli dan menikmati snek di gerai ini turut menjadi peluang untuk pelajar mengeratkan hubungan sosial dan mengisi masa lapang dengan cara yang positif.
Fenomena pelajar memilih gerai ‘Lokching’ sebagai snek selepas kuliah mencerminkan budaya kampus yang aktif dan sosial, selain menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti santai yang bermanfaat. Keberadaan gerai ini bukan sahaja memenuhi keperluan makanan ringan, tetapi juga menyumbang kepada suasana kampus yang lebih mesra pelajar.

