Oleh: Nik NurKhalisha Bahirah binti Zaini
TANJUNG MALIM , 15 JANUARI 2026— Tahap keselamatan pelajar di kawasan kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada waktu malam terus menjadi perhatian, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan, susulan kebimbangan terhadap pencahayaan yang kurang memuaskan serta beberapa tingkah laku mencurigakan yang disaksikan di sekitar kampus.
Hasil tinjauan dan temu bual bersama beberapa orang pelajar mendapati majoriti pelajar merasakan keadaan keselamatan di kolej UPSI secara umum berada pada tahap yang baik, namun masih terdapat situasi tertentu yang menimbulkan rasa tidak selamat, terutamanya apabila bergerak pada waktu malam.
Menurut seorang pelajar wanita yang ditemu bual, Farah Afrina, 23, kawasan di antara blok-blok kolej yang gelap menyebabkan pelajar berasa kurang selesa untuk berjalan sendirian. “Kalau waktu malam, kami cuba elakkan keluar lewat sebab ada kawasan yang kurang lampu,” katanya.
Selain isu pencahayaan, sebahagian pelajar turut menyatakan pernah menyaksikan tingkah laku tidak bermoral seperti pasangan berduaan di dalam kenderaan di kawasan kolej. Situasi ini, menurut mereka, perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan keselesaan dan keselamatan komuniti pelajar. Walaupun kebimbangan tersebut tidak memberi kesan besar terhadap fokus pembelajaran, kebanyakan pelajar mengakui mereka lebih berhati-hati dan mengehadkan pergerakan pada waktu malam. Namun, mereka berpandangan sistem keselamatan sedia ada adalah mencukupi, dengan cadangan agar rondaan keselamatan dipertingkatkan dan kemudahan seperti kamera litar tertutup (CCTV) ditambah baik
Sementara itu, pihak Polis Bantuan UPSI Puan Siti Suriyana binti Yahya, 41, menjelaskan bahawa rondaan keselamatan dijalankan secara berkala pada setiap syif, khususnya di kawasan kolej kediaman. Menurut seorang pegawai Polis Bantuan, pihak mereka turut memasang CCTV di setiap sudut kolej serta menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar masuk kampus bagi memastikan pematuhan peraturan keselamatan.
“Kami juga telah menerima peruntukan daripada pihak universiti untuk menaik taraf sistem keselamatan, termasuk pemasangan CCTV berteknologi tinggi,” jelasnya.
Secara keseluruhannya, keselamatan pelajar di UPSI dilihat sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama antara pihak keselamatan, pihak universiti dan pelajar sendiri. Usaha berterusan dalam menambah baik sistem keselamatan serta pematuhan peraturan diharapkan dapat mewujudkan persekitaran kampus yang lebih selamat dan kondusif, khususnya pada waktu malam.

