Barisan AJK pelaksana, peserta bersama dif-dif jemputan

Oleh : Suriati Ismail

Tanjong Malim, 16 Januari – Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi saksi penganjuran Wacana MADANI serta Pelancaran Kelab Mahasiswa MADANI UPSI, merupakan satu inisiatif strategik dalam memperkukuh pemahaman nilai MADANI dan pembangunan sahsiah mahasiswa.

Program berimpak tinggi ini telah menghimpunkan lebih 500 orang pelajar UPSI serta 40 orang pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus mencerminkan sokongan padu mahasiswa terhadap agenda pengukuhan nilai MADANI di peringkat institusi pengajian tinggi.

Majlis ilmu ini telah diserikan dengan kehadiran dan ucaptama oleh Kolonel (K) Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang juga merupakan Pengerusi Taskforce Pengukuhan MADANI Universiti Awam. Turut hadir ialah Encik Ashraf Ridhwan, Penolong Ketua Pengarah, Kementerian Pendidikan Tinggi (Bahagian Hal Ehwal Pelajar), serta ahli-ahli Taskforce MADANI Universiti Awam.

Dalam ucapan bertajuk ‘Menghayati Amanah dan Kepercayaan dalam Era Kecerdasan Buatan (AI)’, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan menegaskan bahawa pendidikan tinggi perlu berteraskan hubungan kepercayaan, nilai kemanusiaan dan adab, selari dengan matlamat melahirkan insan berilmu dan berakhlak. Beliau menekankan bahawa kecerdasan buatan kini bukan lagi sekadar teknologi sokongan, sebaliknya telah muncul sebagai teknologi tamadun MADANI yang memberi kesan menyeluruh kepada masyarakat dan sistem pendidikan MADANI.

Menurut beliau, penggunaan AI dalam pendidikan perlu berlandaskan kerangka yang berfokuskan manusia, yang bukan sahaja menekankan inovasi dan analitik prestasi pelajar, malah memastikan nilai ihsan, keadilan, kelestarian alam sekitar serta tanggungjawab moral terus dipelihara. Pendekatan ini selari dengan prinsip “Artificial Intelligence for Humanity”, iaitu AI harus berfungsi untuk kesejahteraan manusia tanpa menghakis nilai kemanusiaan dan kepercayaan sosial MADANI.

Beliau turut menghuraikan konsep Lima Lapisan Kecerdasan Tabii, yang mengintegrasikan perjalanan insan daripada masyarakat berasaskan data dan maklumat kepada masyarakat berasaskan hikmah, sekali gus menuntut peranan pendidik dan pelajar sebagai pembimbing cara dalam mendepani cabaran era AI secara beretika dan beradab MADANI.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, selaku Penasihat Kelab Mahasiswa MADANI UPSI, menyatakan harapan agar penubuhan kelab ini menjadi platform berstruktur untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mempunyai kesedaran nilai, keupayaan kepimpinan, semangat kesukarelawanan dan kebertanggungjawaban sosial. Beliau menegaskan bahawa Kelab Mahasiswa MADANI perlu berfungsi sebagai ejen perubahan yang menterjemahkan konsep MADANI melalui aktiviti berimpak, khidmat komuniti dan penglibatan pelajar secara holistik.

Pelancaran Kelab Mahasiswa MADANI UPSI ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti awam untuk membangunkan ekosistem kampus yang berteraskan nilai, etika, perpaduan dan kelestarian, sejajar dengan keperluan negara dalam mendepani cabaran global dan teknologi masa hadapan.

By shira