Oleh: Dr. Kama Shaffeei

PUTRAJAYA, 16 Januari 2026 Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu perjumpaan rasmi bersama Dr. Mohd Anuar Bin Abdullah, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena pelantikan beliau sebagai Pengarah Baharu mulai 15 Disember 2025.

UPSI diwakili oleh Dekan Fakulti Pembangunan Manusia iaitu Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, Dr. Noraini Abdullah selaku Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Khas UPSI dan Pensyarah-pensyarah Jabatan Pendidikan Khas yang turut hadir Dr. Kway Eng Hock, Dr. Kama Shaffeei dan Dr. Ab Halim Sulong.

Ucapan aluan dari YBrs. Dr Mohd Anuar Abdullah, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, KPM

Perjumpaan ini bertujuan adalah bertujuan memperkukuh hubungan antara UPSI dan pihak KPM dalam aspek memperkasakan Pendidikan Khas demi kemenjadian Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) pada masa hadapan. Di samping itu juga, perbincangan dalam usaha menambahbaik Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Khas kepada pelajar-pelajar UPSI.

Dalam perjumpaan ini, Mohd Anuar Abdullah memaklumkan pada tahun 2026 dan 2027 berfokus kepada Reformasi Pendidikan Khas yang menekankan memperkasa sistem sokongan Pendidikan Khas terutama kepada guru, murid, infastruktur dan penglibatan industri serta ibubapa.

Perkara-perkara ini penting bagi tujuan memperkasakan sistem Pendidikan Khas yang berkualiti dan memenuhi keperluan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). Melalui sesi pembentangan yang disampaikan oleh Mohd Anuar beberapa inisiatif akan diambil demi memastikan Pendidikan Khas tidak ketinggalan dengan arus perubahan pendidikan dan ledakan teknologi masa kini.

Sesi pembincangan oleh pihak UPSI dengan Bahagian Pendidikan Khas, KPM

Pelbagai inisiatif seperti latihan guru, murid, pendedahan teknologi dan penglibatan industri diperlukan dalam membantu meningkatkan akses pendidikan selaras dengan peluncuran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035.

Akses Pendidikan dalam Latihan pelbagai aspek nanti boleh memacu Pendidikan Khas supaya guru dan murid menerima proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris turut menyatakan komitmen berterusan terhadap inisiatif pihak Bahagian Pendidikan Khas, KPM dengan membuka peluang kerjasama strategik merujuk kepakaran para pensyarah sedia ada dan infrasruktur yang melibatkan makmal-makmal Latihan Pendidikan Khas dan makmal teknologi di Fakulti Pembangunan Manusia.

Tambahan pula, Jabatan Pendidikan Khas UPSI mempunyai pelbagai kepakaran dalam aspek pedagogi, intervensi dan sokongan, literasi dan numerasi, kemahiran vokasional, pelbagai aktiviti terapi dan sebagainya. Adanya, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bitara di UPSI juga akan membantu kepada MBPK dalam usaha melatih dan memulihkan MBPK lepasan sekolah di sekitar Daerah Muallim dengan pelbagai Kemahiran Vokasional ke arah persediaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Gambar UPSI menyampaikan cenderamata kepada YBrs. Dr Mohd Anuar Abdullah, Bahagian Pendidikan Khas, KPM

Kesediaan PPDK BITARA UPSI sebagai Pusat Kecemerlangan Kemahiran OKU di UPSI juga terbukti dengan penglibatan para pensyarah dalam menghasilkan modul-modul Latihan PPDK BITARA UPSI dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Secara keseluruhannya, perjumpaan ini diharap dapat memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama berterusan antara UPSI dan pengurusan Bahagian Pendidikan Khas KPM, sekaligus menjadi asas yang kukuh ke arah permulaan yang positif dan berimpak tinggi bagi Pendidikan Khas Malaysia mulai 2026.

By awang