Tanjong Malim, 13 Disember 2025Program Pemindahan Ilmu:Inovasi Daripada Pewarna Semula Jadi telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya yang bertempat di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (Blok 10),Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Parlimen Tanjong Malim dengan kerjasama UPSI dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan peserta.

Program ini telah disertai oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada ibu tunggal, golongan belia (pelajar UPSI) dan juga pelajar sekolah menengah dan rendah. Penyertaan yang pelbagai menjadikan program ini sebagai platform perkongsian ilmu rentas generasi yang inklusif dan berimpak tinggi.

Objektif utama program adalah untuk memindahkan ilmu berkaitan inovasi pewarna semula jadi serta memberi pendedahan kepada teknik penghasilan produk kreatif berasaskan sumber alam yang mesra alam dan berpotensi dikomersialkan.

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta telah mengikut beberapa slot utama atau aktiviti seperti:

  • Pengenalan kepada ekstrak pewarna semula jadi daripada tumbuhan.
  • Bengkel ecoprinting menggunakan daun dan bunga bagi menghasilkan corak unik pada kain.
  • Aktiviti mewarna batik dengan pewarna alam.
  • Sesi Business Model Canvas bagi memperkenalkan asas pembinaan model perniagaan produk inovasi hijau.

Program ini turut melibatkan 8 orang fasilitator yang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar yang berpengalaman dalam ecoprinting. Para fasilitator memainkan peranan yang sangat penting dalam membimbing peserta secara langsung sepanjang aktiviti amali, memastikan setiap peserta dapat memahami teknik dengan betul serta menghasilkan satu karya yang indah.

Impak dan Maklum Balas Peserta

Program ini memberi impak positif dari aspek peningkatan kemahiran, kesedaran kelestarian alam dan minat terhadap keusahawanan hijau. Ramai peserta menyatakan bahawa mereka memperoleh pengetahuan baharu tentang cara menghasilkan pewarna semula jadi serta teknik aplikasi pada tekstil.

Beberapa peserta dalam kalangan ibu tunggal menyatakan minat untuk mengembangkan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan sampingan, manakala pelajar UPSI dan pelajar sekolah melihatnya sebagai peluang untuk meneroka inovasi kreatif serta projek akademik berkaitan kelestarian.

Secara keseluruhannya, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan dan peserta berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar. Melalui inisiatif ini,diharapkan usaha pemindahan ilmu dapat terus memperkasa komuniti,meningkatkan kreativiti sekaligus dapat menyokong pembangunan ekonomi hijau yang mampan.