Nor Kalsum (barisan hadapan - lima dari kanan) bersama Tok Empat Kampung Simpang Empat dan peserta sebelum aktiviti brisk walk.Nor Kalsum (barisan hadapan - lima dari kanan) bersama Tok Empat Kampung Simpang Empat dan peserta sebelum aktiviti brisk walk.

Oleh: Nor Kalsum Mohd Isa

TANJONG MALIM, 27 Oktober 2025 – Lebih 100 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan penduduk sekitar Kampung Ketoyong, Lubuk Salak serta Simpang Empat menyertai program Beat Plastic Brisk Walk yang dianjurkan sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Program berkenaan merupakan anjuran pelajar kursus HGM3113 – Kelestarian Perancangan dan Pembangunan Ruang di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, dan dilaksanakan menerusi pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) serta Pembelajaran Berasaskan Projek.

Pensyarah kursus, Nor Kalsum Mohd Isa berkata program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar di samping memupuk amalan mesra alam dalam komuniti.

“Pelajar bukan sahaja mempelajari konsep kelestarian, malah berpeluang mempraktikkan amalan hijau yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.

Poster Beat Plastic Brisk Walk
Tok Empat (pertama dari hadapan) memberi panduan laluan brisk walk kepada semua peserta aktiviti Beat Plastic Brisk Walk di Kampung Ketoyong dan Kampung Lubuk Salak.

Program bermula seawal jam 8 pagi dengan aktiviti brisk walk dan plogging, iaitu berjalan sambil mengutip sisa, melibatkan dua laluan utama di kawasan kampung terlibat.

Sepanjang aktiviti, peserta mengutip pelbagai bahan kitar semula termasuk plastik, kertas, tin dan kaca sebelum bahan tersebut diasingkan dan ditimbang untuk tujuan analisis data serta dokumentasi.

Menurut penganjur, pendekatan itu membantu pelajar memahami aspek pengurusan sisa pepejal selain menilai potensi kitar semula dan kesan terhadap pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Pelajar UPSI bersama komuniti berganding bahu mengutip sisa plastik  dalam aktiviti Beat Plastic Brisk Walk di Kampung Ketoyong.
 
Tok Empat (kiri) memberi panduan laluan brisk walk kepada semua peserta aktiviti Beat Plastic Brisk Walk di Kampung Simpang Empat.

Sementara itu, wakil pelajar, Izzi Haqimi Nasrofi berkata penglibatan komuniti memberi pengalaman bermakna kepada peserta.

“Program ini memberi kesedaran bahawa usaha kecil seperti mengutip sisa mampu menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Inisiatif tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya berkaitan komuniti lestari, penggunaan bertanggungjawab dan tindakan terhadap perubahan iklim.