Oleh: Muhammad Shah Rizal bin Usman
TANJONG MALIM, 11 FEBRUARI 2026 – Program Lawatan Inspirasi ke Arah Kecemerlangan Murid telah berjaya dilaksanakan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini merupakan hasil kolaborasi antara Kelab Pelaburan Bijak PNB dan Persatuan Bahasa Melayu SMK Air Merah yang telah bekerjasama dengan Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) dan English Language Society (ELS), UPSI.
Seramai 38 orang murid SMK Air Merah telah menyertai lawatan ini dengan bimbingan guru pengiring untuk merasai sendiri suasana menara gading.


berkaitan fasiliti perpustakaan.
Program ini bermula dengan sambutan mesra daripada warga FBK yang disusuli dengan taklimat akademik oleh pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu serta Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris.
Sesi taklimat tersebut memberi pendedahan kritikal mengenai struktur pengajian, prospek kerjaya dan kepentingan penguasaan bahasa dalam komunikasi profesional. Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk melawat lokasi ikonik UPSI seperti Muzium Pendidikan Nasional dan Perpustakaan Tuanku Bainun supaya pelajar dapat mengenali sejarah dan budaya ilmu.
Lawatan ini membawa impak besar dalam menghubungkan teori yang dipelajari oleh pelajar di bilik darjah dengan realiti dunia akademik yang sebenar.
Sesi interaksi pelajar secara langsung dengan warga universiti mampu memberikan impak dari segi pengukuhan kemahiran berkomunikasi, berkeyakinan dan bertatasusila dalam konteks profesional.
Pengalaman ini bukan sahaja memperluaskan ufuk pemikiran murid terhadap peluang pendidikan tinggi, malah mampu menyemai aspirasi dalam diri murid untuk mengejar kecemerlangan pelbagai bidang khususnya dalam bidang bahasa dan komunikasi yang menjadi aspek yang fundamental untuk membentuk seorang modal insan yang berkualiti.
Program ini turut menawarkan impak yang signifikan dalam membentuk murid yang mempunyai sikap berdikari dan berdisiplin yang tinggi.
Melalui program ini, murid didedahkan kepada kepentingan pengurusan masa dan pematuhan peraturan sepanjang lawatan. Kemahiran tersebut merupakan elemen yang penting untuk memandu murid supaya dapat beradaptasi dengan peringkat pengajian tinggi.
Aktiviti yang dijalankan juga mampu memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan melalui tugasan berkumpulan, sekali gus meningkatkan motivasi serta keyakinan murid untuk melangkah keluar dari zon selesa supaya murid dapat menghadapi pelbagai cabaran.
Impak jangka masa panjang daripada program ini dapat dilihat melalui peningkatan motivasi intrinsik murid untuk menentukan sasaran akademik yang lebih tinggi dan jelas. Murid dapat melihat sendiri kemudahan pembelajaran dan suasana kampus yang kondusif, murid kini mempunyai gambaran yang nyata tentang kehidupan sebagai mahasiswa.

Mohd Amir bin Mohd Zahari (kanan).

Perkara tersebut akan mengukuhkan azam mereka untuk lebih berjaya dan memperkembangkan potensi diri untuk mengorak langkah ke alam pengajian tinggi. Pendedahan awal ini bukan sahaja memberi maklumat, malah berfungsi sebagai ejen perubahan minda yang mendorong murid untuk lebih berdaya saing dan berwawasan dalam merancang kerjaya masa depan mereka.
Akhir kata, program ini telah mencapai objektif dalam memberikan impak positif dari segi akademik dan pembentukan sahsiah murid. Pendedahan awal merupakan kunci utama dalam membina semangat murid untuk terus mengejar kecemerlangan.
Usaha ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform yang berkesan untuk melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan yang selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

