Oleh: Chin Khai Xian
Tanjong Malim, 25 Mac 2026 – Sebuah program peringkat kebangsaan iaitu Herbtalk: Folk Wisdom with Science anjuran Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang CELESTRA 2025/2026, dengan kerjasama persatuan-persatuan dalam UPSI dan beberapa institusi pendidikan tempatan awam di Malaysia telah berjaya menarik lebih 1100 peserta dari seluruh Malaysia dalam sesi maya yang berlangsung di Google Meet dan siaran langsung Facebook Persatuan Mahasiswa Sains UPSI.
Program ini menampilkan dua orang panel yang merupakan pakar dalam bidang rawatan herba tradisional iaitu Dr Fadzureena Jamaludin, Ketua Program Sumber Biologi, Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Dr Sujatha a/p Ramasamy, Pensyarah Kanan, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) yang berkongsi kepakaran dalam bidang rawatan herba tradisional.
Lebih 1100 mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai IPT seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA dan lain-lain serta orang awam dari pelbagai negeri yang mengambil bahagian dalam program ini.
Program ini bertujuan untuk membuka peluang kepada masyarakat mengenai bagaimana pengetahuan rawatan herba tradisional yang diwariskan oleh nenek moyang turun-temurun dapat dikukuhkan dengan integrasi ilmu sains.
Program ini mendapat sokongan padu daripada Persatuan Geografi UPSI, Kelab Rakan Alam Sekitar UPSI, Majlis Anak Johor UPSI, Himpunan Mahasiswa Anak Kelantan UPSI, Persatuan Sains Pertanian UPSI dan Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang USPI.
Program ini juga disokong oleh persatuan IPTA lain seperti Kelab Sains Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Biosumber & Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut.
Setiap kolaborasi ini memberikan peluang untuk perkongsian ilmu serta memperluaskan rangkaian kebangsaan. Kerjasama ini memberi impak besar kepada program ini, menjadikannya platform yang efektif untuk memperkukuhkan hubungan antara universiti-universiti Malaysia dalam bidang rawatan herba tradisional.
Program ini turut dihadiri oleh ChM. Dr. Siti Nur Akmar binti Mohd Yazid, Penasihat Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), UPSI merangkap Penasihat Program. ChM. Dr. Siti Nur Akmar menyatakan sokongan beliau dan menegaskan pentingnya program seperti ini dilaksanakan untuk mengenali potensi herba tradisional sebagai alternatif atau pelengkap kepada rawatan ubatan moden pada masa hadapan, sejajar dengan perkembangan bidang sains kesihatan dan farmaseutikal negara.
Sesi forum yang berlangsung semasa program memberi peluang kepada peserta untuk memahami bagaimana ilmu sains yang berkaitan mampu mengukuhkan serta menyokong pengetahuan tradisi dalam rawatan herba termasuk kajian makmal yang selalu dilakukan oleh para penyelidik dan klasifikasi spesis.
Turut dibincangkan berkenaan produk-produk herba di pasaran dari segi keberkesanan untuk bentuk-bentuk produk berbeza seperti makanan, produk tradisional dan ubat terapeutik serta cara mengenal pasti produk herba semula jadi yang selamat digunakan di pasaran.
Dr Fadzureena juga berkongsi produk hasil kajian pasukan beliau iaitu GouTree, produk anti gout daripada pokok cucur atap.
Beliau berkongsi berkenaan tugasan yang telah dilakukan oleh pasukan beliau dalam penyelidikan tersebut daripada fasa awal melakukan pengekstrakan sehingga fasa akhir menghasilkan produk semula jadi berasaskan pokok cucur atap serta proses-proses pensijilan.
Usaha ini jelas membuktikan bahawa terdapat potensi pasaran bagi produk berasaskan herba tradisional.
Program ini berakhir dengan sesi soal jawab yang mendapat perhatian para perserta, diikuti dengan ucapan penutupan.



Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk bertanya soalan berkenaan potensi herba tradisional daripada pelbagai aspek seperti penanaman herba secara besar-besaran, pengiktirafan serta peranan generasi muda dalam mewariskan pengetahuan tradisi berkenaan herba tradisional.
Secara keseluruhannya, HerbTalk: Folk Wisdom with Science telah membuktikan bahawa program ini sebagai platform yang sangat berharga dalam menghubungkan masyarakat Malaysia dengan perspektif dan peluang dalam bidang rawatan herba tradisional yang merupakan warisan nenek moyang kita.
Dengan sokongan berterusan daripada rakan-rakan kolaborasi kebangsaan, program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada masyarakat khususnya generasi muda agar dapat menghayati warisan herba tradisional tersebut serta memanfaatkan kekayaan biodiversiti Malaysia.

