Bangkok, 28 Mac 2026 – Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan kedudukan di pentas antarabangsa apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam penyertaan Fellowship Program Bangkok sempena Thailand International Book Fair yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Centre pada 27-28 Mac 2026.
Fellowship Program Bangkok merupakan inisiatif profesional yang menghimpunkan penerbit, editor dan pemain industri buku dari seluruh dunia bagi memperkukuh jaringan, berkongsi kepakaran serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang penerbitan. Program ini berlangsung seiring dengan Thailand International Book Fair, salah satu pesta buku terbesar di Asia Tenggara yang menjadi platform utama perdagangan hak cipta, penerbitan dan pertukaran idea dalam industri buku global.
Penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang jaringan profesional global, malah turut membuahkan perkembangan signifikan apabila Penerbit UPSI mencapai kata sepakat awal bagi urus niaga penjualan lesen (licensing) sebanyak 200 judul e-buku bahasa Melayu kepada Oxford University Press, yang diwakili oleh Zachary Burke. Perkara ini bagaimanapun akan diperhalusi selanjutnya oleh pihak perundangan UPSI dan Oxford bagi merealisasikan hasrat tersebut. Inisiatif ini mencerminkan potensi besar dalam usaha memperluas capaian karya akademik tempatan ke peringkat global.
Selain itu, Penerbit UPSI turut menerima minat daripada sebuah syarikat penerbitan dari India iaitu Aram Publication, untuk memperoleh hak penerbitan (rights) bagi beberapa judul terpilih. Perbincangan awal telah mencapai tahap yang positif, dan akan diperhalusi lanjut oleh kedua-dua pihak sebelum dimuktamadkan. Antara judul yang dikenal pasti termasuk Malay Women in Colonial Texts (Lajiman Janoory), Reef Life: The Heart of Malaysian Sea (Norhayati Daud), Alice and Her Magic Scarf, Bella’s Newfound World dan Mary The Cook and The Dragon (Mahendran Maniam), Dewa Pechil (Patricia Ann Hardwick dan Fara Dayana Mohd Jufry), Puteh Mariah Srikandi Politik Tidak Didendangkan (Mohamed Jeffri Haji Mat Lazim dan Ishak Saat), serta Pertemuan di Tepi Tasik (A. Wahab Rauf). Minat ini mencerminkan potensi tinggi karya terbitan UPSI untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Asia Selatan.
Sepanjang berlangsungnya Bangkok Rights Fair, Penerbit UPSI turut aktif mengadakan pertemuan dan rundingan strategik bersama wakil penerbit terkemuka dari pelbagai negara termasuk Thailand, China, United Kingdom, India, Turki dan Korea Selatan. Interaksi ini memperkukuh potensi kolaborasi serta membuka peluang penerbitan bersama dan pertukaran hak cipta pada masa hadapan.
Program Rights Fair tersebut telah dirasmikan oleh Pornvit Sila-On, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa Thailand, bersama Nattakorn Vuttichaipornkul, Presiden Persatuan Penerbit dan Penjual Buku Thailand (PUBAT). Majlis perasmian ini mencerminkan komitmen tinggi pihak kerajaan dan industri dalam memperkasakan sektor penerbitan di peringkat antarabangsa. Turut hadir memeriahkan majlis tersebut Pn Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku dan En Hasri Hasan, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Kota Buku.
Ketua Editor Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI), Azlan MD, menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai satu pengiktirafan besar buat Penerbit UPSI.
“Ini merupakan satu penghormatan buat Penerbit UPSI kerana pemilihan saya untuk menyertai Fellowship Program ini telah dibuat oleh pihak PUBAT berdasarkan pengalaman luas serta jaringan industri yang telah dibina dalam arena perbukuan antarabangsa,” ujar beliau.


Sementara itu, Pengarah Penerbit UPSI, Nordiana Hamzah, turut menyatakan rasa bangga atas pencapaian tersebut. Beliau menegaskan bahawa kejayaan penjualan hak penerbitan kepada penerbit antarabangsa berprestij membuktikan kualiti dan kebolehpasaran karya akademik UPSI di peringkat global.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Suriani Abu Bakar, pula menyifatkan pengiktirafan daripada Oxford University Press sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan. Menurut beliau, penglibatan OUP sebagai rakan niaga mencerminkan keyakinan industri antarabangsa terhadap kredibiliti dan standard penerbitan UPSI.
Penyertaan dalam Fellowship Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkenalkan karya akademik Malaysia ke pasaran global, di samping mengangkat jenama Penerbit UPSI sebagai penerbit universiti yang aktif dan berdaya saing di arena antarabangsa.
Kejayaan ini juga sejajar dengan usaha berterusan Penerbit UPSI dalam memperluas jaringan antarabangsa serta mempertingkatkan kebolehpasaran kandungan ilmiah tempatan ke peringkat dunia.
