oleh Dr. Hartini Ismail
TANJONG MALIM, 29 Jun – Hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh apabila Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan delegasi seramai 32 orang daripada Universitas Muhammadiyah (UNISMUH) Makassar, Indonesia yang diketuai oleh Prof. Dr. Andi Sukri Syamsuri, Rektor UNISMUH.
Delegasi tersebut disambut mesra oleh Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pembangunan Manusia, PM Dr. Norazilawati Abdullah, bersama Ketua Jabatan Pengajian Pendidikan, Dr. Mohd Afifi Bahuruddin Setambah serta barisan pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan dalam suasana penuh muhibah dan semangat kekeluargaan serumpun.
Majlis dimulakan dengan sesi pembukaan rasmi, ucapan wakil kedua-dua institusi, diikuti pemeteraian kerjasama serta pertukaran cenderamata sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.
Sempena lawatan tersebut, Seminar Antarabangsa yang menghimpunkan ahli akademik kedua-dua universiti turut diadakan bagi membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman serta idea strategik ke arah memperkasakan kecemerlangan pendidikan.


Antara fokus kerjasama yang dipersetujui ialah pembangunan kurikulum secara bersama dalam bidang pendidikan, perkongsian kepakaran penyelidikan kualitatif dan kuantitatif, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, mobiliti pensyarah dan pelajar, pelaksanaan kelas kolaboratif secara dalam talian serta penghasilan penerbitan bersama dalam jurnal berindeks Scopus. Kedua-dua institusi turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh penyelidikan dalam bidang Pendidikan Sekolah Rendah yang menjadi kekuatan bersama.
Kerjasama strategik ini diyakini mampu merancakkan inovasi pendidikan, memperkukuh budaya penyelidikan, memperluaskan jaringan akademik antarabangsa serta meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan kepada pengalaman pembelajaran rentas negara.
Lawatan ini membuktikan bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia bukan sahaja terjalin melalui persamaan bahasa dan budaya, malah diperkukuh oleh iltizam bersama untuk membangunkan pendidikan berkualiti demi kesejahteraan masyarakat serantau.
“Ilmu tidak mengenal sempadan. Apabila institusi berganding bahu, lahirlah peluang baharu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu memimpin masa depan pendidikan di rantau ini.”
