Oleh: Hafiz Abd Manap & Sharulnizam Azman
TANJONG MALIM, 15 Julai 2026– Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus disemarakkan menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI@KUO apabila seramai 14 orang sukarelawan, terdiri daripada 7 orang sukarelawan lelaki dan 7 orang sukarelawan wanita, berganding bahu menyediakan 200 pek makanan untuk diagihkan kepada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program yang dilaksanakan di Dapur Siswa MADANI@KUO UPSI Blok 5 dan Blok 2 Kolej Ungku Omar itu menyaksikan sukarelawan menyediakan 100 pek makanan di setiap lokasi, sekali gus memastikan lebih ramai mahasiswa mendapat manfaat daripada inisiatif kebajikan tersebut.



Bagi minggu ini, menu nasi putih, kari ayam dan sayur campur bersama tempe goreng dipilih sebagai hidangan untuk diagihkan kepada mahasiswa. Pemilihan menu yang seimbang dan berkhasiat ini bertujuan memastikan mahasiswa memperoleh hidangan yang mengenyangkan serta membekalkan tenaga ketika membuat ulang kaji dan menghadapi peperiksaan akhir.
Pelaksanaan program ini amat bertepatan dengan keadaan semasa apabila kebanyakan mahasiswa kini berada dalam minggu-minggu akhir semester serta sedang menduduki peperiksaan akhir.
Bantuan makanan yang disediakan bukan sahaja membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa, malah memberi peluang kepada mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persediaan peperiksaan tanpa terlalu memikirkan soal penyediaan makanan.
Program ini turut mencerminkan semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan warga kampus apabila para sukarelawan meluangkan masa dan tenaga bagi menyediakan makanan yang berkualiti demi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara.
“Walaupun sumbangan ini mungkin kelihatan sederhana, kami berharap ia dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mahasiswa yang sedang menghadapi minggu peperiksaan. Semoga bantuan ini menjadi penyuntik semangat kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam akademik.” ujar Prof. Dr. Hj. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar.
Inisiatif Dapur Siswa MADANI merupakan antara usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui penyediaan makanan kepada pelajar yang memerlukan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, tambahnya lagi.



Seiring dengan aspirasi tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir pernah menegaskan bahawa Dapur Siswa MADANI bukan sekadar menyediakan makanan kepada mahasiswa, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh pengajian.
Melalui semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh sukarelawan yang hadir, program ini diharapkan dapat terus menjadi platform kebajikan yang memberi manfaat kepada mahasiswa, khususnya ketika musim peperiksaan.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan asas mahasiswa, malah menyemai nilai ihsan, kebersamaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris, selaras dengan hasrat menjadikan kampus sebagai sebuah komuniti yang prihatin dan saling membantu.

