TANJONG MALIM, 22 Julai 2026 – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus diperkasa menerusi Program Dapur Kasih Bitara Siri 11/2026 yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) itu melibatkan aktiviti gotong-royong penyediaan sebanyak 1,500 hidangan makanan percuma untuk mahasiswa UPSI, termasuk penyediaan hidangan secara talam sebagai salah satu usaha mendukung Kempen Masjid Lestari Perak.


Konsep hidangan secara talam bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan bungkusan makanan pakai buang, malah turut menyemarakkan semangat kebersamaan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga universiti. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen UPSI dalam menerapkan amalan lestari dan membudayakan kehidupan yang lebih mesra alam dalam komuniti kampus.
Turut hadir ialah Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan bin Mohammad Hussain; Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Encik Anizan Md Noor; serta Ahli Anggota (Ahli Majlis) Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Puan Habibah binti Yaakob.
Program Dapur Kasih Bitara terus menjadi antara inisiatif kebajikan UPSI dalam menyantuni mahasiswa melalui penyediaan makanan percuma, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan menyemarakkan budaya kesukarelawanan serta kelestarian dalam kalangan warga universiti.
