Oleh: Muhammad Rais Mujahid Mohd Redzuan

Tanjong Malim, 6 Oktober 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berkedudukan 600-800 dalam World University Rankings (2025) kini berada dalam landasan yang tepat berdasarkan salah satu Konsep BITARA iaitu, Adaptasi Global.

Seiring dengan itu, hubungan antarabangsa yang baik dapat mengangkat imej UPSI di seluruh pelusuk dunia.

Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mendapat permintaan daripada Suleyman Demiral University (SDU University) di bawah satu projek perundingan antarabangsa berkaitan Perkembangan Profesional khusus dalam bidang prasekolah.

Rentetan jalinan LOI yang termetrai antara kedua universiti di Almaty sebelum ini, Kazakhstan, projek lanjutan yang diberi nama sebagai Professional Development GLOBAL ECE CAMP (GECE CAMP 2024) telah dilaksana pada 2 hingga 6 Oktober 2024 yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan dengan melibatkan 7 orang ahli iaitu Dr Seah Siok Peh, Dr Nor Mashitah Mohd Radzi, Pn Azila Alias,  Pn Farhana Nohrin Mohd ANuar, Hasviniy Padmanathan dan Dr Nadia Shahira Amiruddin.

Lawatan ke NCDRC

Seramai 28 peserta dari delegasi Kazakhstan yang terdiri daripada wakil Kementerian Pendidikan, dan pengurus terbaik yang dipilih dari pelbagai prasekolah di sana.

Antara agenda program tersebut adalah untuk mempelajari dan melihat sendiri kepakaran dalam bidang prasekolah khususnya serta kemudahan moden yang terkini  di FPM melalui penglibatan fasilitator dalam kalangan staf akademik JPAKK, FPM dan pakar luar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Lawatan ke Sri Budiman

Projek ini turut mendapat perhatian dan perkenan khususnya Dato VC Md Amin Md Taff, TNC HEPA UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli, Prof Dr Suriani Abu Bakar, Dekan & Pengurusan Fakulti Pembangunan Manusia, Pusat Pengurusan Penyelidikan UPSI, Bendahari UPSI dan seluruh warga UPSI yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Menurut Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, beliau telah menyatakan bahawa program yang dijalinkan ini akan menjadi satu permulaan yang bakal memberi impak yang besar buat SDU University ini dalam memperkembangkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di sana.

Poster selamat datang ke FPM UPSI

Program selama 5 hari 4 malam ini dimulakan dengan memberi peluang kepada  28 delegasi Kazakhstan yang hadir ke UPSI untuk sesi lawatan di sekitar kampus (Museum Pendidikan dan Arena)

Mereka kemudiannya telah mengikuti pelbagai bengkel berkaitan Robotik, CPR, Muzik & Pergerakan, Pengurusan dan Perkembangan Kanak-kanak yang telah disediakan oleh Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak FPM UPSI.

Peserta juga diberi peluang untuk melihat secara langsung pengurusan dan perjalanan kelas khususnya di NCDRC dan Sekolah Seri Budiman yang merupakan antara pusat perkembangan pendidikan terbaik di Malaysia.  Seterusnya para peserta turut diraikan dengan majlis penganugerahan di atas kejayaan melaksanakan program mengikut peruntukan masa yang ditetapkan oleh agensi projek di sana.

Program GECE Camp 2024 telah menjadi penanda aras antarabangsa dari negara ASEAN kepada  28 orang peserta dari Kazakhstan. Aktiviti yang dijalankan dapat diaplikasikan di peringkat nasional khususnya kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti di Kazakhstan.

Harapan FPM melalui program ini dapat melebarkan sayap kerjasama antarabangsa dengan negara Kazakhstan dengan melibatkan penyelidikan, perundingan, penerbitan, mobiliti pensyarah/pelajar (inbound dan outbound) yang berimpak tinggi.