Prof. Dato’ Dr. Md Amin (kiri) menerima dokumen MoU daripada Pengarah INTAN, Datuk Dr. Mohd Zabri

Oleh: Amilia Abdul Halil

Kuala Lumpur, 17 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan di bawah laluan Accreditation of Prioir Experiental Learning (APEL). Majlis bersejarah ini diadakan di Kampus Utama INTAN, Bukit Kiara yang dihadiri oleh pegawai tertinggi kedua-dua organisasi serta para akademik dan profesional.

MoU ini bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dalam mempromosikan bidang pendidikan tinggi di bawah laluan APEL untuk sektor awam dan industri. Kerjasama ini diharapkan dapat meningkatkan jumlah pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah Pendidikan (EdD) di bawah laluan APEL yang mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebagai kredit pengajian.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapan pembukaannya berkata, “Perjanjian ini mencerminkan komitmen bersama antara UPSI dan INTAN dalam menyediakan laluan pendidikan yang lebih fleksibel, inklusif dan mudah diakses oleh penjawat awam.”

Delegasi UPSI dan UKM bersama pihak INTAN 

Dalam majlis ini, kedua-dua pihak turut berkongsi rancangan jangka panjang untuk memperluas kolaborasi dengan agensi- agensi kerajaan dan swasta melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, program latihan,  perkongsian sumber dan kemudahan, penulisan, penerbitan, pembangunan modul dan program serta konsultasi untuk sektor awam dan industri yang menyokong agenda kerajaan dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Selain delegasi UPSI pada hari ini, delegasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga turut mengadakan koloborasi bersama pihak INTAN dalam menandatangani MoU. Majlis menandatangani MoU ini dijangka akan membawa kepada pelbagai inisiatif dan program yang bermanfaat kepada penjawat awam serta masyarakat secara keseluruhan.