Oleh: Nur Ain Suraiya Farhanah

Kuala Lumpur, 14 Disember 2024 – Bahagian Governan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Jasamu Dikenang di Hotel Pulse Grande, Putrajaya. Majlis ini diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan mantan ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar dan dua orang ahli ex officio yang diraikan iaitu YBrs. Prof. Marzita binti Puteh mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa serta YBrs. Mejar (B) Ramli bin Othman mantan Penasihat Undang-Undang yang telah memainkan peranan penting dalam membawa kecemerlangan kepada UPSI.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, yang juga merupakan tetamu kehormat. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan yang tinggi terhadap usaha universiti dalam menghargai dedikasi barisan kepimpinan tertinggi. Dalam ucapan beliau, Tan Sri melahirkan rasa keterujaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk mengetuai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) negara. “Mandat ini adalah amanah besar yang saya terima dengan rasa rendah hati. Ia memberi saya peluang untuk terus berbakti kepada negara, memastikan pentadbiran perkhidmatan awam kekal efisien, dinamik, dan berpandangan jauh,” ujar beliau.

Tan Sri turut mengakui bahawa pengalaman beliau sebagai ahli LPU telah memberi nilai tambah yang besar dalam memahami pelbagai aspek tadbir urus dan pembangunan institusi pendidikan. “Kerjasama erat dalam LPU ini adalah satu pengalaman berharga yang telah membantu saya memperkukuh kepimpinan, terutama dalam usaha memastikan sistem perkhidmatan awam negara sentiasa responsif kepada pendidikan universiti,” tambahnya.

Dalam ucapan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff beliau menzahirkan penghargaan atas komitmen luar biasa para ahli LPU yang sentiasa memastikan hala tuju universiti sejajar dengan aspirasi pendidikan negara. “Peranan mantan LPU dan ex officio adalah kritikal dalam menjana pembangunan strategik universiti, dan hari ini, kita memberi penghormatan kepada mereka yang telah meninggalkan legasi yang bermakna,” katanya.

Majlis ini turut menyaksikan penyampaian cenderamata penghargaan berupa syiling dan setem 100 tahun UPSI kepada jemputan yang diraikan. Sambutan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin universiti tetapi juga sebagai wadah untuk mengenang sumbangan individu yang telah menjadikan UPSI sebagai institusi pendidikan terulung.

Majlis Jasamu Dikenang membuktikan komitmen UPSI dalam menghargai kepimpinan dan dedikasi para ahli LPU, yang mana usaha mereka menjadi tonggak utama dalam kejayaan universiti ini. Semoga tradisi kecemerlangan ini terus subur demi kelangsungan pembangunan pendidikan tinggi negara.