Oleh : Dr. Nor Farhah Saidin, Dr. Ummu Husna Azizan, Dr. Norshahila Ibrahim, Dr. Erni Marlina Saari, Siti Nurfarliana Mohd Yusof
TANJONG MALIM, 17 November 2024 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Pembangunan Kandungan Kreatif Menggunakan Aplikasi Artificial Intelligence (AI) pada 16 dan 17 November yang lalu.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Taman Hijau, Tanjung Malim dan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran serta kreativiti remaja komuniti dalam penghasilan kandungan kreatif menggunakan teknologi AI.
Program ini merupakan program di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme) Perak Sejahtera 2024 dan mendapat sokongan penuh daripada Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pengkomersialan (RMIC), UPSI.
Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada remaja komuniti daerah Muallim, khususnya golongan B40 dan anak-anak yatim, telah terlibat dalam program ini.

Ketua Program, Dr. Nor Farhah Saidin, menjelaskan bahawa program ini berpotensi untuk memperkasa pengetahuan dan kreativiti pelajar melalui penggunaan aplikasi AI.
Sementara itu, Penolong Pengurus NADI Taman Hijau, Puan Siti Nor Dalilah Ali Roslan, menyatakan rasa berbesar hati terhadap penganjuran program ini kerana ia mampu memberi nilai tambah kepada golongan remaja yang disasarkan, sekali gus memastikan mereka sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa.

Selain Dr. Nor Farhah, program ini turut dihadiri oleh perunding dari FKMT iaitu Dr. Ummu Husna Azizan, Dr. Norshahila Ibrahim serta Dr. Erni Marlina Saari.
Antara pengisian program adalah sesi pengenalan aplikasi AI yang dikendalikan oleh Siti Nurfarliana Mohd Yusof, siswazah pelatih merangkap tenaga pengajar pada hari tersebut.


Peserta diberi peluang untuk mempelajari cara menggunakan AI, termasuk melakukan pencarian imej berdasarkan prompt yang kreatif serta memahami cara aplikasi AI digunakan dalam menghasilkan karya digital.
Seterusnya, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menghasilkan buku cerita digital yang berkonsepkan cerita rakyat atau kisah dongeng haiwan.
Penilaian dibuat berdasarkan kreativiti dalam menggunakan AI untuk menghidupkan cerita mereka. Kumpulan terbaik telah diumumkan pada majlis penutup, dan hadiah disampaikan kepada para peserta serta cenderahati diberikan kepada pihak NADI sebagai penghargaan atas kerjasama dalam menjayakan program selama dua hari ini.


Program ini menerima pelbagai maklum balas positif daripada peserta serta pihak NADI. Kebanyakan peserta menyatakan rasa puas hati dengan pengalaman yang diperoleh, selain berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
