Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Nurfatin Nazirah Sahrul Sim dan Nurul Aini Mehat

Pangkor, 14 Disember 2024: Saban tahun kita menyaksikan pelbagai pencemaran alam terutamanya pencemaran air tidak kira sama ada di negara maju atau negara mundur. Pencemaran ini memberikan impak yang besar terhadap kehidupan laut dan juga persekitaran manusia sekiranya tiada tindakan susulan yang diambil. Justeru, pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim bersama enam orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar tahun akhir dengan kerjasama 51 orang pelajar Geografi Semester 3 di bawah subjek HGF3043 Kaji Iklim mengambil inisiatif Tindakan Iklim dengan melaksanakan aktiviti pengutipan sisa-sisa sampah di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor pada 14 Disember lalu.

Tindakan Iklim (SDG 13) merupakan salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015. Ianya merujuk kepada usaha untuk menangani perubahan iklim, termasuk pengurangan jejak karbon, pemuliharaan alam sekitar dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam. Melalui penglibatan dalam program tindakan iklim, pelajar boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda lain untuk memainkan peranan aktif dalam pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja di kawasan setempat tetapi di seluruh negara.

Pulau Pangkor merupakan sebuah pulau yang terkenal dengan keindahan alamnya dan sering menjadi destinasi utama pelancong dalam serta luar negara, sekali lagi dipilih sebagai lokasi pelaksanaan aktiviti kutip sampah. Aktiviti ini bertujuan menangani cabaran pembuangan sampah tidak terkawal yang memberi kesan buruk kepada ekosistem pulau dan mempercepatkan degradasi alam sekitar. Melalui usaha tindakan iklim ini, kesan negatif terhadap alam sekitar dapat diminimumkan, sekaligus menyokong pemuliharaan keindahan semula jadi pulau tersebut. Aktiviti seperti ini juga menjadikan Pulau Pangkor model komuniti mampan yang mampu memberi inspirasi kepada kawasan lain seiring dengan matlamat kelestarian global.

Peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk mempercepatkan aktiviti pengutipan sampah di sepanjang persisiran pantai Teluk Nipah. Sampah dikutip dan dikategorikan mengikut jenis seperti plastik, kaca, logam serta bahan organik agar proses pelupusan dan kitar semula dipermudahkan. Sarung tangan, penyepit dan plastik sampah digunakan untuk memastikan aktiviti dijalankan dengan selamat.

Sepanjang aktiviti ini berlangsung, pelajar dapat mengesan pelbagai jenis sampah yang terdapat di kawasan pantai, antaranya penutup kipas angin. Pelajar juga dapat melihat sendiri aktiviti manusia yang mengancam ekosistem tempatan seperti pembuangan sampah di kawasan kedai makan dan bekas botol air yang dibuang begitu sahaja di kawasan tersebut. Tindakan pelajar mengutip sampah ini secara tidak langsung menjadi contoh teladan kepada orang ramai dan memberi mesej secara visual tentang kesan pencemaran. Masyarakat tempatan dan pelancong juga mungkin merasa malu untuk membuang sampah sembarangan apabila melihat usaha pelajar dalam membersihkan kawasan pantai.

Aktiviti ini telah membantu mengurangkan jumlah sampah yang mencemari kawasan pantai dan laut terutamanya plastik dan bahan buangan lain yang berbahaya kepada hidupan marin. Dengan membersihkan lokasi popular seperti Teluk Nipah, usaha ini bukan sahaja melindungi keindahan semula jadi Pulau Pangkor tetapi juga menyokong pemuliharaan biodiversiti. Hidupan marin seperti ikan, penyu dan burung pantai boleh kurang terdedah kepada risiko terjerat dalam sampah atau termakan plastik. Selain itu, pengurusan sisa makanan yang dilakukan oleh pelajar turut mengurangkan bau tidak menyenangkan serta risiko gangguan haiwan liar seperti monyet dan anjing liar. Pelajar Geografi UPSI yang terlibat dalam aktiviti ini turut mendapat pendedahan langsung mengenai isu pencemaran dan kesannya kepada alam sekitar. Pengalaman praktikal ini mampu meningkatkan kesedaran mereka serta memupuk nilai tanggungjawab sosial dan semangat bekerjasama dalam kalangan pelajar.

Menurut Sofia, pelajar semester 3 ISMP Geografi UPSI, “Pengalaman kutip sampah di Teluk Nipah memang sesuatu yang sukar dilupakan. Walaupun penat, kami bekerjasama membersihkan kawasan menjadikan kerja lebih seronok ditambah pula dapat bersembang sambil beraktiviti. Melihat hasil kutipan membuatkan kami rasa puas hati kerana sekurang-kurangnya kami telah menyumbang sesuatu untuk alam sekitar. Selain itu, aktiviti ini juga menguatkan ikatan persahabatan antara kami.”

Usaha mengutip sampah di Pulau Pangkor memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar. Aktiviti ini bukan sahaja membersihkan kawasan tetapi juga mengurangkan pencemaran, melindungi biodiversiti dan mempromosikan amalan pengurusan sisa yang lebih baik. Dengan menjaga kebersihan alam sekitar, ia turut membantu menjaga keindahan semula jadi pulau tersebut dan memastikan ekosistem tetap terpelihara untuk generasi akan datang. Penglibatan pelajar dalam aktiviti ini diharapkan mendorong generasi muda memainkan peranan dengan menjadi agen perubahan dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Dengan penyertaan lebih ramai pihak terutama dalam kalangan pelajar dan belia, usaha ini dapat diperluas dan memberi impak yang lebih besar menjadikan dunia lebih bersih dan mampan.