oleh: Syrelyn Misol dan Veronica

Sungkai, 21 Disember 2024 Program CSR Audit Prihatin x KUO Ecorescuers yang dianjurkan oleh Exco Sains dan Teknologi dan Inovasi Pertanian , Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar  sesi 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Audit dalam UPSI.

Program ini juga melibatkan rakan strategik dari Unit Integriti, bahagian perundangan UPSI dan pusat kebajikan warga desa, daerah Hulu Selangor.

Gambar sesi lawatan ke hidupan liar

Program ini berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Program ini dijalankan di Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai, Perak.

Tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar, sejajar dengan usaha mencapai matlamat pembangunan lestari.

Gambar menjalankan aktiviti pembersihan di kawasan kandang hidupan liar

Semasa membuat lawatan di Pusat Konservasi Hidupan Liar, peserta diberikan pendedahan mengenai usaha pemuliharaan yang dilakukan oleh pihak pengurusan untuk melindungi spesies haiwan yang terancam dan ekosistem semula jadi.

Peserta berpeluang melihat hidupan liar secara langsung iaitu mereka dapat diberi peluang untuk belajar tentang kehidupan liar dari jarak yang dekat.

Gambar sesi perkongsian daripada Ketua Pusat Konservasi Hidupan Liar

Tambahan pula, peserta berpeluang untuk berinteraksi dengan pegawai dalam bidang pemuliharaan untuk berkongsi mengenai pengalaman mereka serta undang-undang dan peraturan yang mengawal perlindungan hidupan liar di Malaysia.

Seterusnya, antara pengisian menarik dalam program ini adalah melibatkan pembersihan kandang haiwan seperti Rusa, Seladang, dan Tenggiling.

Gambar ucapan yang disampaikan oleh Encik Hanafi dalam majlis penutupan

Aktiviti ini dapat memberikan banyak manfaat kepada peserta untuk memperoleh pengalaman secara langsung dalam menjaga kebersihan dan keselesaan haiwan.

Mereka mempelajari tentang tanggungjawab yang diperlukan untuk memastikan haiwan berada dalam persekitaran yang bersih dan sihat.

Gambar sesi penyampaian cenderahati kepada Tuan Rumah

Penerangan mengenai pentingnya menjaga kebersihan habitat haiwan dan impak terhadap kesihatan serta kesejahteraan mereka juga disampaikan oleh pihak pengurusan. Hal ini juga menyentuh aspek penting dalam pemeliharaan biodiversiti.

Pada majlis penutupan, sesi taklimat telah disampaikan oleh Ketua Pusat Konservasi Hidupan Liar iaitu Encik Cosmas Ngau yang berasal dari Miri Sarawak.

Beliau berkongsi serba sedikit mengenai tugas-tugas dan tanggungjawab yang dijalankan dalam struktur organisasi tersebut.

Sesi perkongsian ini sudah pasti membuka minda peserta yang hadir dan mampu menambahkan sedikit sebanyak ilmu pengetahuan yang baharu mengenai hidupan liar.

Antaranya ialah anggaran kos yang telah mereka gunakan adalah melebihi puluh ribu untuk menghantar beberapa spesies hidupan liar sahaja di kawasan semulajadi iaitu di Taman Negara.

Menurut Ketua Audit, Encik Hanafi Junit, “Saya berterima kasih kepada pihak konservasi kerana memberi peluang kepada kami untuk merasai pengalaman baru dan penglibatan dalam aktiviti yang dijalankan ini.

“Saya juga ucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama daripada jawatankuasa KUO dan pihak kolabrasi lain kerana telah menjayakan program ini. Semoga pada masa akan datang program ini dapat dijalankan lagi.”

Sesi penyampaian cenderahati disampaikan oleh Encik Hanafi Junit diiringi oleh pengarah program Audit Prihatin dan Kolej Ungku Omar kepada Encik Cosmas Ngau iaitu Ketua Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) serta Encik Ikman sebagai Pembantu Penolong Pegawai PERHILITAN.

Sesi ini penuh dengan penghargaan dan simbolik sebagai tanda terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh mereka dalam program yang dijalankan tersebut.

Secara keseluruhannya, lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih mendalam tentang perlindungan hidupan liar serta meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti.

Menurut salah seorang peserta, “Melalui program CSR ini, saya bukan sahaja membantu membersihkan kandang tetapi juga mendapat peluang untuk lebih memahami tentang spesies yang dilindungi dan bagaimana kita boleh melindungi mereka.”

Gambar bersama peserta dalam program CSR Audit Prihatin X KUO Ecorescuers

Program CSR Audit Prihatin X KUO Ecorescuers telah membuktikan bahawa mahasiswa/i UPSI bukan sahaja mampu mencipta perubahan positif, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk memelihara alam sekitar demi generasi akan datang.