Oleh: Dr. Fairus Fariza Zainudin dan Dr. Nor Fadila Kasim

Tanjong Malim, 28 Disember 2024 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan Program Health Heroes Innovation Challenge 2024 berjaya menghimpunkan 160 pelajar kursus CUR2011 Pasukan Pertolongan Cemas bersama 156 peserta program. Program anjuran bersama Pusat Kokurikulum UPSI dan Program Komuniti FIT @ Hand Only CPR ini dilaksanakan di bawah Geran Community Engagement (CE) Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).

Di bawah kepimpinan Nurashraf Mohklis Jahiri selaku pengerusi program dan bimbingan Dr. Fairus Fariza Zainudin sebagai penasihat, program ini turut disokong oleh Mohd Khairul Azrul Mohd Redzuan, Penolong Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan UPSI (PKU) yang bertindak sebagai tenaga pengajar kursus kokurikulum berkredit.

Program ini mengetengahkan pendekatan Game Base Learning (GBL) melalui 10 reruai pameran interaktif yang menyediakan pendidikan komprehensif tentang pengenalan dan rawatan kecemasan. Antara fokus utama ialah pengendalian kes stroke, sawan, konkusi otak, pendarahan, luka terbakar, sindrom jantung terhenti dan teknik CPR untuk orang dewasa.

Dr. Jamilah Basir, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menekankan kepentingan program ini dalam meningkatkan jumlah pemerhati CPR dalam masyarakat. Manakala, Pengurus Latihan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Mior Mohd Shahriman Mior Shahidin, penceramah jemputan menggesa perluasan program pendidikan CPR ke semua peringkat institusi pendidikan.

Program ini memperkenalkan dua inovasi utama: UPSI-Community CPR Tracker Initiative (UCCT-i) dan CPR Playtime. UCCT-i merupakan sistem pemantauan pertama yang dilancarkan untuk menilai keberkesanan bystander CPR dalam kalangan pelajar. Manakala CPR Playtime pula adalah kaedah pembelajaran berasaskan kad yang direka khas untuk membantu guru-guru sekolah dalam pengajaran CPR, merangkumi panduan ringkas, alat bantu mengajar, dan kaedah penilaian kemahiran asas CPR dewasa serta penggunaan Automated External Defibrillator (AED).

Tim Komuniti FIT @ Hand-Only CPR akan menawarkan kursus percuma kepada sekolah-sekolah terpilih di negeri Perak. Sekolah-sekolah yang berminat boleh menghubungi Dr. Fairus Fariza melalui email fairus.fz@fsskj.upsi.edu untuk maklumat lanjut.

Program Health Heroes Innovation Challenge 2024 ini merupakan langkah transformatif UPSI dalam memperkasakan masyarakat dengan kemahiran penyelamatan nyawa yang kritikal, sekaligus menunjukkan komitmen universiti dalam melahirkan masyarakat yang celik kesihatan dan berkemahiran dalam aspek asas menyelamatkan nyawa dalam komuniti.