Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Pollie Lim Poh Yue
Tanjong Malim – Pada 5 Ogos 2024 – 13 September 2024, seramai 99 orang pelajar daripada AT10 – ISMP Pendidikan Khas berjaya menamatkan Program Perantis Guru di seluruh negara. Menurut Penyelaras Program Perantis Guru AT10 Dr. Vestly Kong Liang Soon, Program Perantis Guru ini merupakan kursus wajib yang perlu diikuti oleh setiap pelajar ISMP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program Perantis Guru (PPG) dilaksanakan bertujuan untuk membantu bakal pendidik untuk memahami peranan sebagai seorang guru pendidikan khas dan pada masa yang sama dapat menimba pengalaman yang sebenar di dalam persekitaran sekolah. Pengalaman ini juga telah membantu para pelajar untuk memahami bahawa Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar malah mereka juga menyebarkan ilmu dari segi kepelbagaian kemahiran yang penting untuk dipelajari oleh murid ini dalam kehidupan seharian mereka seperti mencuci kereta, membakar roti dan memasak. Tambahan pula, pengalaman melaksanakan PPG ini juga membantu bakal pendidik untuk menemui dan memahami bahawa murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di PPKI dibahagikan kelas mengikut tahap keupayaan pengurusan diri mereka. Selain daripada itu, keperluan individu setiap pelajar juga diambil berat di mana pelajar autisme mungkin memerlukan pendekatan yang bervisual dan berstruktur. Dengan itu, apabila pelajar dibahagikan mengikut tahap keupayaan mereka, maka guru ini dapat memastikan setiap pelajar dapat menerima pendidikan yang bersesuaian dan lebih bermakna.

Dr. Vestly Kong Liang Soon selaku penyelaras Program Perantis Guru (PPG) berpendapat bahawa kursus ini sangat diperlukan dalam struktur akademik pelajar kerana melalui program ini, pelajar bukan sahaja akan mempelajari organisasi di sekolah namun mereka dapat menimba pengalaman yang tidak dapat diperolehi pada waktu kuliah. Dengan itu, Program Perantis Guru ini juga membantu bakal pendidik untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di waktu kuliah pada konteks yang sebenar. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Pusat Latihan Mengajar & Industri (PULAMI) UPSI di atas segala bantuan dan bimbingan sepanjang PPG kepada pelajar program AT10 kami.


