Oleh: Syakirah Che Dahalan
Tanjung Malim, 8 Disember 2024 – Penglibatan ibu bapa dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah semakin mendapat perhatian apabila pendekatan neoterik telah diperkenalkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pendekatan moden ini menggabungkan interaksi, pengalaman langsung, dan kerjasama komuniti sebagai salah satu elemen proses pembelajaran yang berkesan.
Pada 22 November 2024, Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), UPSI telah mengaplikasikan salah satu domain dalam pendekatan neoterik menerusi program “Jom Buat Kuih” di bawah subjek Bahasa Kita. Program ini melibatkan kolaborasi antara guru, ibu bapa dan murid dalam satu usaha bersama untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran murid. Program ini mengintegrasikan beberapa domain dalam pendekatan neoterik iaitu kreativiti, kepimpinan, ikuiri, kolaborasi, numurasi dan kemahiran moto halus murid SRSB.

Program yang diketuai oleh Cik Syakirah Che Dahalan, seorang guru bahasa Melayu, telah membawa pembelajaran ke arah lebih menarik dengan menerapkan pendekatan neoterik, iaitu kaedah pembelajaran yang menekankan interaksi dan pengalaman langsung.
Melalui program ini, murid-murid bukan sahaja diajar tentang teknik menghasilkan kuih-muih, tetapi juga melibatkan peranan ibu bapa sebagai rakan kongsi ilmu. Dua ibu bapa, iaitu Puan Al-Huzainiasmawati dan Puan Noorul Hazani, dilantik sebagai fasilitator untuk berkongsi kemahiran membuat kuih. Mereka memberikan demonstrasi secara langsung kepada murid-murid, membimbing mereka dengan teknik asas pembuatan kuih, serta menyelitkan elemen nilai murni seperti kerjasama, kesabaran, dan kreativiti dalam proses tersebut.

Menurut Cikgu Syakirah, objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan murid kepada pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan praktikal, sambil melibatkan komuniti ibu bapa dalam membina keakraban dengan pihak sekolah.
“Ibu bapa adalah sumber ilmu yang tidak ternilai. Dengan melibatkan mereka, murid-murid bukan sahaja mendapat pengetahuan baharu tetapi juga belajar menghargai warisan tradisional seperti pembuatan kuih. Pendekatan ini membentuk suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mendalam,” katanya.
Puan Al-Huzainiasmawati, salah seorang wakil Parents Supports Group (PSG) yang terlibat, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang sangat berharga. “Saya gembira dapat berkongsi kemahiran ini. Aktiviti ini bukan sahaja membantu murid-murid memahami proses pembuatan kuih, tetapi juga mengeratkan hubungan kami sebagai ibu bapa dengan pihak sekolah,” katanya.

Selain itu, Puan Noorul Hazani wakil PSG pula menambah, “Melalui program ini, saya dapat melihat semangat murid untuk belajar sesuatu yang baharu. Kerjasama antara ibu bapa, guru, dan murid ini menjadikan suasana pembelajaran sangat bermakna.”
Program seperti ini membuktikan bahawa pembelajaran boleh menjadi lebih bermakna apabila semua pihak berganding bahu. Penglibatan ibu bapa bukan sahaja meningkatkan kualiti PdP, tetapi juga mewujudkan hubungan kekeluargaan yang harmoni. Aktiviti ini juga dapat mengukuhkan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam menjadikan ibu bapa sebagai rakan strategik demi membentuk generasi masa depan yang berkualiti. Semoga usaha murni ini dapat menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam merangka aktiviti yang kreatif dan bermakna, sekali gus mempersiapkan generasi muda untuk menjadi individu yang serba boleh dan berdaya saing.

