Oleh: Noor Sabrinah Mohamed Ali Jinna

Tanjung Malim, 26 Disember 2024– Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Kesedaran Persedian Pengurusan Pekerjaan untuk Majikan bagi Pelatih Pusat Pemulihan Komuniti (PDK)  Muallim Siri 1. Program yang berlangsung pada 18 dan 19 Disember lalu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Nortipah Majin.

Menurut Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Nurul A’in Hidayah Abas, program ini diadakan dengan tujuan  untuk meningkatkan kesedaran di kalangan agensi awam dan swasta mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran yang mesra orang kurang upaya (OKU), baik di tempat kerja mahupun di kaunter perkhidmatan.

Seramai 32 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan Malaysia, wakil politeknik dan juga wakil daripada PDK daerah Muallim  telah turut serta bagi menjayakan program ini selama dua hari di  FPM.

Program ini memberi pendedahan dan kesedaran kepada majikan di sekitar Muallim mengenai pengurusan pekerjaan dan pembangunan kerjaya di kalangan pelatih PDK seterusnya memberikan strategi dan cara yang berkesan bagi mengatasi permasalahan dalam aktiviti pekerjaan dalam pengendalian PDK di tempat kerja.

Intipati program ini  adalah satu usaha pihak penganjur bagi menjadi daerah muallim sebagai contoh majikan mesra pekerja OKU dan inklusif sebagai rujukan untuk amalan terbaik dalam sektor pekerjaan dan kebajikan komuniti.

Seterusnya, program ini juga dilaksanakan sebagai suatu perintis untuk memperluaskan peluang kepada pelatih PDK untuk bekerja dan berdikari.

Sehubungan dengan  itu, pelbagai slot perkongsian telah dilaksanakan bagi mencapai objektif program dan menyokong Program Pemerkasaan Ekonomi (Malaysia Economic Empowerment Programme) sepanjang dua hari .

Perkongsian daripada pelbagai pihak ini diharapkan dapat membuka mata  para majikan agar dapar meningkatkan produktiviti serta menyokong pembangunan kerjaya golongan  OKU.