Thaksin, Thailand, 9 Januari 2025 – Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan lawatan penanda aras ke Thaksin University, Thailand hari ini bagi memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang komunikasi korporat serta meningkatkan kualiti imej korporat universiti. 

Lawatan ini diketuai oleh Penerbit Rancangan BKK, Mohd. Shahran Daud  bersama beberapa pegawai kanan BKK UPSI. Delegasi disambut mesra oleh Naib Presiden (Penyelidikan dan Komunikasi Korporat) Thaksin University, Prof. Madya Dr. Thiptiva Samphanmit serta pegawai-pegawai universiti tersebut. 

Sepanjang lawatan, pelbagai sesi perkongsian maklumat dan pengalaman diadakan. Antara topik utama yang dibincangkan ialah strategi menangani isu-isu semasa melibatkan universiti dan komunikasi berkesan dengan pihak berkepentingan ; idea untuk meningkatkan kualiti imej korporat universiti melalui pendekatan inovatif dalam perhubungan awam dan jenama; pemanfaatan media, termasuk media sosial dan digital sebagai platform promosi universiti untuk menarik perhatian pelajar antarabangsa dan memperkukuh reputasi global. 

Delegasi UPSI juga berpeluang melawat beberapa kemudahan penting di Thaksin University seperti The Thaksin Folklore Museum yang mempamerkan lebih 50,000 koleksi artifak termasuk bahan seramik, senjata dan peralatan kepercayaan agama Buddha.

Menurut Shahran,  lawatan ini bukan sahaja membuka peluang untuk menimba ilmu baharu sekaligus menjadi platform berkongsi pandangan yang mampu memacu kecemerlangan institusi.

“Kami amat menghargai kerjasama erat antara UPSI dan Thaksin University. Perkongsian ilmu ini sangat bermakna dalam usaha meningkatkan imej korporat universiti dan memanfaatkan media secara maksima bagi menyampaikan mesej kepada khalayak,” katanya. 

Lawatan ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkasakan peranan komunikasi korporatnya sejajar dengan visi universiti untuk menjadi institusi terkemuka di peringkat antarabangsa.

Dengan kejayaan lawatan ini, UPSI berharap dapat terus menjalin kerjasama strategik bersama Thaksin University pada masa hadapan khususnya dalam aspek-aspek yang memberi impak positif kepada kedua-dua institusi.