Oleh: Bazli Razak

SINTOK, 9 Januari 2024 – Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Komunikasi Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Lawatan yang diketuai Timbalan Pengarah BKK UPSI, Dr. Ghazali Din, bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi selain berkongsi amalan terbaik dalam bidang komunikasi korporat.

Delegasi UPSI seramai 22 orang itu disambut oleh Ketua Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari Che Mohamed Arif, yang turut memberikan taklimat mengenai struktur organisasi jabatan tersebut serta strategi komunikasi korporat yang diterapkan.

Dr. Ghazali dalam ucapannya berkata, lawatan itu merupakan platform terbaik untuk UPSI mempelajari pendekatan baharu dalam menyampaikan mesej universiti kepada pihak berkepentingan.

“Kami juga ingin memastikan bahawa UPSI sentiasa berada di barisan hadapan dalam amalan komunikasi korporat.

“Dengan mempelajari pengalaman UUM, kami percaya bahawa penglibatan strategik dengan media dan masyarakat dapat dipertingkatkan,” katanya.

“Kami yakin dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh menerusi lawatan ini, BKK UPSI dapat meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dalam bidang komunikasi korporat.

“Ini juga memberi inspirasi kepada kami untuk memperkenalkan inisiatif baharu yang lebih dinamik dan relevan,” ujar beliau.

Sementara itu, Bakhari Che Mohamed Arif berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan delegasi UPSI dan berharap perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami sentiasa percaya bahawa komunikasi korporat memainkan peranan penting dalam membina reputasi institusi. Dengan kolaborasi seperti ini, kami dapat berkongsi strategi yang telah terbukti berkesan.

Tambah beliau, lawatan ini juga memberikan peluang kepada pasukan kami untuk belajar daripada pendekatan yang diterapkan oleh BKK UPSI.

“Pertukaran idea seperti ini amat penting untuk memastikan kami kekal relevan dalam era komunikasi digital yang sentiasa berubah.

“Selain itu, kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang untuk projek bersama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua universiti.

“Kami percaya kolaborasi seperti ini akan memperkukuh jaringan profesional antara universiti dan memastikan komunikasi korporat yang lebih berkesan. Jabatan kami sentiasa terbuka untuk berkongsi amalan terbaik,” katanya.

Sesi perbincangan antara kedua-dua pihak turut menumpukan kepada pelbagai topik termasuk strategi pengurusan media sosial, perhubungan awam, penerbitan bahan promosi, dan pengurusan krisis komunikasi.

Delegasi UPSI turut diberi peluang melawat fasiliti Jabatan Komunikasi Korporat UUM seperti bilik media dan studio penerbitan bagi melihat secara dekat operasi harian jabatan tersebut.

Program diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai simbolik penghargaan dan persahabatan antara kedua-dua universiti.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus menjalin kerjasama bagi memperkukuh jaringan komunikasi korporat dalam kalangan universiti awam di negara ini.

Lawatan ini mencerminkan komitmen UPSI untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan komunikasi korporatnya dalam usaha memperkukuh reputasi institusi di peringkat nasional dan antarabangsa.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
10 JANUARI 2024