Oleh: Clarisa Ann Binti Godomon
Sungai Besi, Kuala Lumpur, 3 Januari 2025- Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Permainan Papan di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran sosial remaja melalui pendekatan interaktif..
Program ini dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Tan Bee Piang, pensyarah untuk kursus HMS3043 Devian Sosial bertujuan membolehkan bakal guru Pendidikan Moral mendalami isu-isu sosial remaja melalui pengalaman langsung dan melaksanakan aktiviti yang sesuai. Program ini juga memberi peluang kepada bakal guru Pendidikan Moral untuk berinteraksi dengan remaja berisiko tinggi, seterusnya meningkatkan empati dan pemahaman mereka terhadap realiti masalah sosial yang dihadapi oleh golongan tersebut.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ini termasuklah aktiviti permainan papan bersama penghuni Sekolah Tunas Bakti dan aktiviti ‘Gallery Walk’ berkaitan hala tuju kerjaya.
Pegawai Psikologi Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Mohamad Fuad Mohd Ali menyifatkan pendekatan permainan papan sebagai idea kreatif yang berkesan untuk merangsang pemikiran dan tingkah laku positif dalam kalangan penghuni. Selain itu, Permainan Papan ini memberikan impak positif kepada setiap penghuni kerana dapat meningkatkan self-esteem dari segi kemahiran dan membuat keputusan dengan cepat.
“Permainan ini bukan sahaja menggalakkan semangat setia kawan, malah dapat meningkatkan keyakinan diri penghuni dari segi kemahiran membuat keputusan,” kata beliau.


Selain sesi permainan papan, program sehari itu turut mengadakan aktiviti ‘Gallery Walk’ yang memberi pendedahan kepada penghuni tentang hala tuju kerjaya dan peluang pendidikan tinggi.
“Para penghuni sering kekurangan role model dan pemahaman tentang peluang kerjaya. Aktiviti seperti ini membuka minda mereka tentang potensi masa depan,” tambah Encik Mohamad Fuad. Oleh itu, perkongsian berkaitan hala tuju kerjaya yang dijalankan melalui aktiviti ‘Gallery Walk’ ini dapat meningkatkan pengetahuan penghuni.
“Dengan pelaksanaan program sebegini, diharapkan para penghuni mendapat manfaat maksimum dari segi pengetahuan dan nilai-nilai moral positif yang wujud dari aktiviti permainan papan,” kata Dr. Tan semasa majlis perasmian program tersebut..
Temu bual bersama saudari Fatin Amirah selaku Pengarah Program turut memanjatkan rasa syukur kerana dapat menjayakan program yang memberikan pelbagai input baru kepada para penghuni sama ada semasa slot pertama pada sesi pagi iaitu bagi aktiviti yang meningkatkan kognitif penghuni mahupun aktiviti ‘Gallery Walk’ di slot yang kedua.
Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 5.00 petang itu turut mendapat maklum balas positif daripada para penghuni yang menyifatkan aktiviti tersebut menyeronokkan dan berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi serta kerjasama dalam kalangan mereka.
