Oleh: Siti Khatijah Abdullah dan Dr. Samsuddin Abd Hamid

Tanjong Malim, 8 Januari 2025- Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan sebuah program seminar yang diberi nama Seminar Penyelidikan Prasiswazah IPTTI. Program ini telah dilaksanakan secara atas talian dan melibatkan penyertaan aktif daripada mahasiswa Persatuan Pendidikan Islam dan Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat sebagai ahli jawatankuasa program dan peserta.

Program ini turut melibatkan 58 orang pelajar Semester 7 Persatuan Pendidikan Islam bagi membentangkan projek tahun akhir masing-masing. Selain itu, para pensyarah Jabatan Pengajian Islam turut dijemput sebagai penilai pembentangan. Para pelajar dari pelbagai semester 1-6 turut menyertai untuk mendengar seminar yang telah dibentangkan bagi menambah input pengetahuan khususnya dari sudut kajian dan isu semasa berkaitan Pendidikan Islam.

Program Seminar Penyelidikan Prasiswazah merupakan satu inisiatif Institut Pengajian Tahfiz dan Turath Islami kepada para pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam khususnya para pelajar dari semester tujuh bagi membentangkan dan berkongsi kajian yang dijalankan dan dilaksanakan. Program ini juga boleh dijadikan platform kepada pendidik dan pakar dalam bidang Pendidikan Islam berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan amalan terbaik untuk memajukan bidang Pendidikan Islam terutamanya kepada pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dan pelajar Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan. Perkongsian ilmu dalam bidang Pendidikan Islam dapat memberi inspirasi meningkatkan pemahaman tentang isu-isu semasa seterusnya membuahkan idea yang bernas serta berkualiti terhadap kaedah yang berkesan untuk mengatasi cabaran dalam Pendidikan Islam masa kini. Secara langsung, program ini dapat memperkukuhkan rangkaian antara institusi pengajian Islam di Malaysia dan memperkukuh Pendidikan Islam itu sendiri.

Program ini turut menjemput Prof. Dr. Azmil Hashim sebagai penyampai ucaptama yang bertajuk “Peranan Pendidikan Islam dalam Pembentukan Karakter Berdasarkan Teori Malakah Ibn Khaldun. Dalam ucaptama tersebut, beliau turut memberi nasihat dan pesanan kepada mahasiswa/i untuk menyedari kepentingan peranan yang perlu dipikul oleh seorang guru yang bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, namun turut berperanan sebagai pihak yang paling dekat dengan pelajar bagi membentuk modal insan terbaik dalam kalangan pelajar.

Program Seminar Penyelidikan Prasiswazah IPTTI diharap dapat memberi manfaat yang besar kepada semua peserta dalam meningkatkan kualiti Pendidikan Islam. Melalui kehadiran pakar, perkongsian pengalaman masing-masing dalam program ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada inovasi dan perubahan positif dalam Pendidikan Islam di negara kita. Seminar Penyelidikan Prasiswazah IPTTI ini diharap dapat memberikan platform yang berkesan untuk para pelajar dan pendidik Islam berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Melalui perbincangan dan kolaborasi, diharapkan program ini dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti Pendidikan Islam di Malaysia dan mempersiapkan generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak mulia.