Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 17 Januari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan Projek Ternakan Ikan Sangkar Tilapia di bawah Geran Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@Unimadani) sebagai inisiatif memperkasakan komuniti asnaf dan membantu mereka menjana pendapatan melalui kemahiran keusahawanan dan TVET.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata projek yang dirasmikan di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu bertujuan memanfaatkan kepakaran universiti untuk meningkatkan taraf hidup komuniti asnaf dalam kalangan pelajar UPSI dan penduduk Muallim.

“Projek ini mencerminkan komitmen UPSI untuk menyokong pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kemahiran.

“Ia adalah contoh nyata bagaimana universiti boleh memainkan peranan proaktif dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf, untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.

Menurut beliau, projek ini turut menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan belia yang tidak bekerja atau tidak melanjutkan pelajaran.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff  menurunkan tandatangan pada plak perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar (Tilapia) UPSI bertempat di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

“Latihan yang diberikan melalui projek ini, termasuk teori dan amali penternakan Tilapia, bertujuan melahirkan generasi belia yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, dan mampu menjana ekonomi komuniti.

“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan masyarakat yang inklusif dan lestari,” tambahnya.

Tambah beliau, manfaat projek ini tidak terhad kepada aspek sosial tetapi turut memberi peluang ekonomi kepada komuniti.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff (tiga dari kiri) bersama pengurusan UPSI melepaskan seribu ekor anak ikan Tilapia dalam majlis Perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar Tilapia di bawah Geran Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@Unimadani) di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI
 

“Hasil ternakan ikan Tilapia bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga boleh dikomersialkan, memberikan peluang kepada pelajar dan penduduk setempat untuk menambah pendapatan. Ini adalah langkah penting ke arah memperkasakan komuniti Asnaf secara mapan.

Projek ini dibiayai melalui geran Komuniti@Unimadani dengan sokongan Kementerian Kewangan (MOF), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI serta Pusat Kokurikulum UPSI.

“Projek ini bukan sekadar inisiatif satu kali, tetapi satu langkah yang menunjukkan keprihatinan UPSI terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat.

“Kami berharap ia dapat terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” ujar beliau.

Sementara itu, Dekan, Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain berkata, berkata projek ini merupakan manifestasi kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan komuniti Asnaf.

“FTV UPSI berbangga dapat menjadi tulang belakang dalam pelaksanaan projek ini. Kami memastikan latihan yang diberikan adalah berstruktur dan relevan, meliputi aspek teori serta amali bagi memastikan komuniti asnaf dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” katanya.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff bergambar bersama pengurusan tertinggi UPSI dan pengurusan FTV UPSI dalam majlis Perasmian Projek Ternakan Ikan Sangkar Tilapia di bawah Geran Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@Unimadani) di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

Jelas beliau, impak projek ini bukan sahaja dirasai oleh pelajar dan penduduk Muallim, tetapi juga membuka ruang kepada penyelidikan dan inovasi dalam bidang akuakultur.

“Projek ini membuka peluang kepada UPSI untuk membangunkan modul pembelajaran dan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan pada skala lebih besar. Hasilnya nanti diharap menjadi model terbaik untuk projek seumpamanya di seluruh negara,” tambah beliau.

“Terima kasih kepada MOF, RMIC UPSI serta pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen penuh. Kerjasama ini menjadi bukti bagaimana kolaborasi strategik mampu menjana impak positif kepada komuniti,” ujar beliau.

Turut hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman; Ketua Pustakawan UPSI, Cik Noriha Muhammad