oleh: Dr. Mohamad Termizi Borhan, Dr. Muhamad Safuan Mat Yeng @ Mat Zin, Dr Ahmad Muslihin Ahmad dan Dr Muhamad Ikhwan Mat Saad
TANJONG MALIM, 17 Januari 2025 – Satu majlis menandatangani surat niat (LOI) antara Manebi Inc. dan Leave a Nest (Malaysia) Sdn. Bhd. (LVNS) berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dalam usaha untuk memantapkan agenda Kecerdasan Buatan (AI) dan STEM dalam pendidikan Sains dan Matematik.
Ini selaras dengan fokus utama hala tuju pendidikan 2025 dan Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada fokus pertama iaitu penyediaan bakat terbaik negara yang menekankan teknologi AI dan digital dalam pendidikan dan keusahawanan.
Fokus utama ini telah dilancarkan oleh Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025.

Delegasi Manebi Inc. diwakili oleh En. TomoyaTajima, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan En. Kenta Kato, Pengurus Bahagian Perancangan Korporat syarikat tersebut.
Manebi Inc.merupakan sebuah syarikat pemula teknologi (start-up) yang berpangkalan di Tokyo, Jepun bertujuan meneroka potensi integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pendidikan Malaysia, terutamanya dalam konteks pendidikan tinggi dan pembelajaran di peringkat sekolah.
Manebi Inc. ditubuhkan pada tahun 2013 adalah merupakan syarikat inovatif yang pakar dalam pembangunan platform digital dan aplikasi berasaskan AI.

Delegasi Leave a Nest (Malaysia) Sdn. Bhd. (LVNS) pula diwakili oleh En. Nur Ahmad Zaim Hussin, Pengarah Leave a Nest (LVNS) Malaysia, Dr. Arief I. Zamani dan Dr. Mohd Izwan Zainol dari Bahagian Pembangunan Manusia Leave a Nest Malaysia.
Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd., ditubuhkan pada 14 Oktober 2013 merupakan anak syarikat kepada Leave a Nest Co., Ltd. yang berpusat di Tokyo, Jepun.
Leave a Nest Malaysia komited dalam memajukan sains dan teknologi untuk kebahagiaan global melalui tiga teras utama iaitu pembangunan pendidikan, pembangunan sumber manusia dan pembangunan penyelidikan.
Pihak Fakulti Sains dan Matematik (FSM) pula telah diwakili oleh kolaborator strategik iaitu Dr. Mohamad Termizi Borhan, Dr. Muhamad Safuan Mat Yeng @ Mat Zin, Dr. Ahmad Muslihin Ahmad dan Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad.
Turut hadir Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Noorshida Mohd Ali, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersilan, Dr. Fatimah Azzahra Ahmad Rashid, Penyelaras Jabatan Strategik Dr. Raja Farhana Raja Khairuddin dan Ketua Jabatan Biologi, Dr, Noraine Salleh Hudin.

Majlis ini dimulakan dengan ucapan aluan Dekan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah.
Dalam ucapan beliau, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah menekankan bahawa kecerdasan buatan memiliki potensi besar untuk menangani pelbagai cabaran pendidikan di Malaysia, khususnya dalam aspek latihan guru pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan.
Beliau menambah, AI mampu menyediakan pengalaman pembelajaran terbeza (differentiated learning), yang perlu dijana dan diadunkan bersesuaian dengan keperluan khusus setiap murid.
“Keupayaan kecerdasan buatan diperlukan bagi menghubungkan keperluan ini”.
Dalam sesi tersebut, En. Tomoya Tajima dari Manebi. Inc telah menyampaikan pembentangan komprehensif mengenai visi dan keupayaan teknologi mereka.
Beliau turut menekankan potensi kerjasama dengan institusi pendidikan Malaysia bagi memastikan kandungan platform mereka dapat disesuaikan dengan keperluan tempatan.
Seterusnya, Pengarah Leave a Nest (LVNS) Malaysia, En. Nur Ahmad Zaim Hussin, memberi ucapan balas dengan memperkenalkan fokus-fokus utama LVNS tentang pembangunan kapasiti STEM yang melibatkan guru dan pelajar sekolah.
Beliau turut menambah potensi-potensi besar yang boleh dijalinkan antara FSM dan LVNS seperti bengkel, seminar dan pertandingan yang melibatkan bidang pendidikan STEM.
Aspirasi UPSI turut diketengahkan dalam majlis ini, sejajar dengan matlamat Dasar Pendigitalan Negara (DPN).
Konsep BITARA yang diperkenalkan UPSI dikaitkan dalam perbincangan konstruktif ini yang menumpukan pada inovasi dan transformasi teknologi, termasuk kecerdasan buatan dan STEM untuk meningkatkan ekosistem pendidikan di peringkat nasional.
Pendekatan ini bukan sahaja seiring dengan arus globalisasi tetapi juga bertujuan memastikan pendidikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
STEM dan AI adalah selaras dengan aspirasi nasional seperti Dasar Pendigitalan Negara (DPN), Revolusi Industri 4.0, dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Selain itu, majlis LOI ini turut membincangkan langkah-langkah strategik bagi mewujudkan kerangka kerja kolaborasi yang lebih komprehensif.
Ini termasuk pembangunan kapasiti STEM dan AI, pelaksanaan penyelidikan bersama, dan pembangunan modul pembelajaran yang dapat diterapkan di semua peringkat pendidikan, daripada sekolah rendah hingga universiti.
Majlis LOI ini mencerminkan kesungguhan Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI dan pihak berkepentingan lain dalam mengukuhkan kerjasama dengan industri teknologi antarabangsa.
Penerapan kecerdasan buatan (AI) dan pemerkasaan STEM diharapkan dapat memperkasa sistem pendidikan Malaysia, meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta membentuk generasi pelajar dan pendidik yang berdaya saing dan kompetetif selari dengan permintaan dan pasaran tenaga kerja global pada era digital ini.
