Oleh: Profesor Madya Dr Fatimah Mohamed
Tanjong Malim, 17 Januari 2025 – Pengalaman penulis selama lebih 30 tahun dalam pengecaman tumbuhan mendapati tren ilmu bidang ini semakin merudum sedangkan negara kita menduduki tempat ke 12 megabiodiversiti.
Penghapusan spesies tumbuhan kian menjadi-jadi akibat desakan pembangunan. Sebelum terlambat, usaha menguasai ilmu pengecaman tumbuhan perlulah diutamakan dalam agenda pembangunan.
Menyedari akan usia kebanyakan pakar dalam bidang ini semakin menuju usia persaraan, satu usaha perkongsian ilmu telah dilakukan oleh penulis kepada pelajar dan masyarakat setempat.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kepupusan bidang ini adalah: usia pengamal ilmu semakin lanjut, bidang molekul semakin dominan, ketiadaan pelapis, banyaknya perisian digital, dan pekerjaan pengecaman tumbuhan tiada masa depan.

Pengecaman tumbuhan banyak bergantung kepada pengalaman dan penghafalan ciri. Pembelajaran abad ke 21 tidak menitik beratkan penghafalan, yang mana menyebabkan kemahiran ini semakin hilang. Tambahan lagi, maklumat mudah didapati di hujung jari.
Kebergantungan dan penggunaan perisian digital amat berleluasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Keinginan memperoleh maklumat dengan segera dan cepat menyebabkan kebanyakan kita lebih suka bertanya google atau ChatGPT. Kini, kita dengan mudah dapat mengakses maklumat melalui google dan pelbagai platform percuma.
Pelbagaiperisian telah dibangunkan dalam usaha membantu manusia dalam pengecaman tumbuhan seperti Google lens, PictureThis, PlantNet, Plantum. iNaturalist dan sebagainya.

Kini Google lens rata-rata digunakan dalam mengecam tumbuhan. Kita hanya perlu imbas sahaja tumbuhan, dalam beberapa saat, jawapan diperolehi! Kesilapan pengecaman paling kerap berlaku kerana perisian ini hanya bergantung kepada maklumat yang diisi oleh manusia.
Maklumat diimbas amat bergantung kepada kamera telefon dan juga sudut imbasan imej. Mata dan analisis manusia lebih tepat berbanding kamera telefon. Pengesahan pakar bidang amat diperlukan bagi memastikan pengecaman adalah tepat.
Kebanyakan pusat pengajian tinggi kini telah beralih kepada program atau kursus-kursus yang lebih relevan kepada dunia pekerjaan.
Pencapaian KPI agar peratus graduate employability (GE) yang tinggi menyebabkan banyak program bersifat klasik seperti botani telah ditutup atau dijumudkan.
Program bersifat GE yang tinggi diutamakan menyebabkan kecairan kepada ilmu bersifat klasik ini. Lama-kelamaan bidang ini pupus!
Dapatan tinjauan awal kami terhadap peserta program daripada ahli kebun bandar di Perak menunjukkan harapan yang tinggi kepada satu perisian digital yang mudah untuk mengecam tumbuhan.

Seramai 30 orang ahli kebun bandar Proton City, Tanjong Malim telah mendaftar diri bagi menyertai program pengecaman tumbuhan pada 21 dan 22 Disember 2024 lalu.
Program ini diterajui oleh pakar bidang iaitu: PM Dr Fatimah Mohamed, PM Dr Nor Nafizah Mohad Noor, En Zahid bin Mat Said, dibantu oleh pakar Pendidikan, Dr Nur Izwani Mohd Shapri dan pelajar PhD terlatih, En Mazatul Azrin Rahman dan seorang fasilitator terlatih, En Muhammad Hassan Basri Azman. Pihak kami telah mendapat kerjasama daripada Pengerusi Kebun Bandar, Haji Abdul Razak Mat Taib.
Kesukaran menurunkan ilmu ke peringkat masyarakat, kami saintis dalam bidang botani dari UPSI yang diketuai penulis, telah membangunkan buku Manual Asas Pengecaman Tumbuhan.
Manual ini merupakan satu usaha menaikkan semula ilmu pengecaman tumbuhan menggunakan kepakaran manusia.
Peserta bengkel telah menunjukkan kemahiran asas pengecaman tumbuhan dengan menggunakan manual ini dan juga latihan yang diberikan. Mereka turut berharap agar program seumpama ini diteruskan agar masyarakat sedar akan kepentingan menanam pokok tempatan.
