Oleh: Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain dan Dr. Anizah Mohd Salleh

Tanjong Malim: Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa didorong untuk meneroka pelbagai kemahiran praktikal bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka, khususnya dalam kursus yang berkaitan dengan reka bentuk landskap. Dalam kursus Asas Reka Bentuk Landskap di bawah Jabatan Sains Pertanian, Fakulti Teknikal dan Vokasional, aktiviti seperti penghasilan stepping slabs DIY (Do-It-Yourself) bukan sahaja memberi pendedahan terhadap proses kreatif, tetapi turut memperkukuhkan pembelajaran secara hands-on. Aktiviti ini sejajar dengan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar yang memberi tumpuan kepada eksplorasi, inovasi, serta penguasaan kemahiran praktikal dalam bidang landskap berfungsi secara menyeluruh.

Penghasilan stepping slabs DIY dalam kursus Asas Reka Bentuk Landskap memainkan peranan penting dalam mencorak ruang dan persekitaran, khususnya dalam mencipta laluan yang menarik dan berfungsi di taman atau kawasan hijau. Melalui kursus ini, mahasiswa didedahkan kepada konsep asas pembuatan stepping slabs, yang merangkumi pelbagai proses kreatif seperti perancangan reka bentuk, pemilihan bahan, dan penghasilan produk akhir. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana elemen landskap seperti stepping slabs dapat mempengaruhi aspek estetika dan fungsi sesuatu ruang secara keseluruhan.

Penglibatan mahasiswa dalam penghasilan stepping slabs DIY memberikan pelbagai kelebihan yang bermanfaat dalam proses pembelajaran mereka. Aktiviti ini secara langsung meningkatkan kemahiran praktikal dan teknikal, seperti kemahiran mengukur, mencampur bahan, dan menghasilkan reka bentuk kreatif yang berkualiti. Di samping itu, mahasiswa berpeluang mengembangkan daya kreativiti mereka dengan menghasilkan produk yang bukan sahaja estetik tetapi juga berfungsi dengan baik. Pengalaman pembelajaran secara hands-on ini turut membantu mereka memahami cabaran sebenar dalam projek reka bentuk, sekali gus melatih mahasiswa untuk mencari penyelesaian praktikal yang relevan. Pendekatan ini menjadi asas persediaan penting bagi menghadapi keperluan dan cabaran industri landskap yang semakin berkembang.

Melalui aktiviti ini, mahasiswa bukan sahaja memperoleh pengetahuan tentang reka bentuk landskap, tetapi juga mempelajari kemahiran praktikal yang relevan untuk kerjaya masa depan mereka. Di samping itu, penggunaan bahan mesra alam dan penekanan terhadap kreativiti menjadikan aktiviti ini selaras dengan prinsip kelestarian. Dengan pendekatan hands-on ini, mahasiswa UPSI berupaya untuk mencipta elemen landskap yang kreatif, estetik, dan berfungsi, sekaligus menyumbang kepada pembangunan bidang landskap yang lebih progresif.