Oleh: Chempaka Nur Ariesha Juhari & Nallee Saimon
Tanjong Malim, 16 Januari 2025- Persatuan Geografi (PERGEO) dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program bacaan Yasin Al-Mawaddah sempena musim peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 27 Januari hingga 15 Februari 2025. Program ini dikendalikan oleh Exco Latihan pembangunan dan Sahsiah PERGEO sidang 2024/2025 melibatkan pelajar semester 1 sehingga semester 7. Program yang bertemakan ‘Menyubur Ilmu, Meraih Keberkatan’ ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kerohanian pelajar melalui bacaan Yasin sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan, mendapat restu ilmu dari Allah SWT dan pensyarah, memupuk rasa tawakal kepada Allah SWT serta mempererat ukhuwah antara aktivis PERGEO dan pensyarah.
Program bermula pada 8.00 malam sehingga 10.30 malam di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki (KAB), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI. Ini merupakan usaha mendekatkan pelajar kepada aktiviti kerohanian, terutamanya sebelum menjelang musim peperiksaan. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT melalui bacaan Yasin dan solat hajat, di samping memohon keberkatan dan kemudahan dalam menghadapi peperiksaan. Selain itu, program ini juga berfungsi sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar yang terdiri dari pelbagai semester dan menyemai nilai-nilai positif seperti kesabaran, keikhlasan, serta rasa syukur. Program ini diharapkan dapat memberi ketenangan jiwa kepada para peserta dan menyuntik semangat dalam menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.

Seramai 104 orang peserta telah menyertai program ini dan turut dihadiri oleh 3 orang pensyarah dari Jabatan Geografi. Program ini dimulakan dengan Solat Isyak serta Solat Hajat berjemaah dan diteruskan dengan bacaan yasin yang dipimpin oleh Muhammad Asyraf Ahmad. Para aktivis juga bersalam-salaman dengan pensyarah yang hadir bagi memohon kemaafan dan restu bagi mendapatkan keberkatan ilmu yang telah dipelajari.
Selepas bacaan Yasin selesai, Timbalan Yang Di-Pertua 1 Persatuan Geografi sidang 2024/2025 iaitu Nik Muhammad Amar Fitri Nik Mohd Rosdi telah menyampaikan ucapan alu-aluan. Beliau berkata “Program Yasin Al-Mawaddah ini bukan hanya menjadi wadah untuk kita memperkukuhkan hubungan, mendekatkan diri dengan Allah SWT, tetapi juga sebagai peluang untuk kita memohon keberkatan dan keredhaan daripada pensyarah yang telah mencurahkan ilmu kepada kita selama ini”.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) Fakulti Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Kamarul Ismail. Beliau mengucapkan tahniah kepada PERGEO atas inisiatif menganjurkan program yang bermakna untuk membina kekuatan rohani, emosi serta menanam rasa syukur, rendah hati dan kebergantungan kepada Allah SWT. Setelah selesai perasmian program, sesi memohon restu ilmu antara aktivis PERGEO dengan pensyarah dilakukan di mana sesi ini amat bermakna untuk memperoleh restu sebelum menduduki peperiksaan. Diharapkan melalui penganjuran program Bacaan Yasin Al-Mawaddah: Menyubur Ilmu, Meraih Keberkahan ini dapat memberi motivasi, ketenangan serta semangat dalam melakukan persediaan menduduki peperiksaan kepada aktivis PERGEO. Justeru itu, program ini bukan hanya memberi ruang kepada aktivis memperolehi restu ilmu dari pensyarah tetapi turut mendekatkan diri kepada Allah SWT.
