Sesi bergambar antara mahasiswa AT36 bersama Panel Jemputan Podcast:The Hafiz Journey

Oleh: Siti Maisarah Sulaiman, Nik Muhammad Arif Nik Ibrahim & Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 15 Januari 2025 – Dalam era digital yang semakin maju, podcast kini bukan lagi sekadar medium hiburan, tetapi telah menjadi budaya yang membawa impak besar kepada masyarakat, khususnya mahasiswa. Podcast bertajuk ‘The Hafiz Journey’ dianjurkan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) dengan kerjasama Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah melibatkan 110 orang mahasiswa. Program ini dijalankan dalam suasana santai namun penuh bermakna, dengan tujuan untuk memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk beristiqomah dalam perjalanan mereka sebagai Hamalatul Quran, sambil memupuk budaya cinta terhadap Al-Quran di kalangan mahasiswa di samping menyahut hasrat Naib Canselor UPSI dengan Rabu Qalbu, yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan sesama mahasiswa.

Sesi perkongsian yang disampaikan oleh Dr. Abdul Jalal Manaf, pensyarah UPSI yang berpengalaman luas dalam bidang tahfiz dan qiraat, memberi ruang kepada peserta untuk memperoleh tips praktikal yang sangat berguna dalam memperbaiki teknik hafazan mereka. Selain itu, sesi motivasi yang diselitkan dalam program ini juga menjadi elemen penting untuk meningkatkan semangat peserta, agar mereka terus berusaha menjaga kualiti bacaan dan hafazan Al-Quran, sekaligus memperkukuh komitmen mereka sebagai Hamalatul Quran, sejajar dengan matlamat dasar pendidikan tahfiz negara yang menekankan penguasaan Al-Quran di kalangan generasi muda.

Podcast ini memberi peluang kepada peserta untuk mendalami teknik hafazan Al-Quran secara praktikal melalui kitab “Kaifa Tahfazul Quran” karya Syeikh Al-Ghauthani. Dengan suasana santai dan interaktif, podcast ini membuktikan bahawa ilmu boleh disampaikan dengan cara yang ringan tetapi tetap berkesan.

Selain itu, program ini diadakan untuk memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa untuk turut serta, sesi podcast ini juga disiarkan secara langsung melalui Instagram Live, membolehkan mahasiswa daripada pelbagai universiti untuk menyertai dan mengikuti perbincangan serta berkongsi pengalaman secara interaktif. Penyertaan melalui platform digital ini membuktikan bahawa podcast kini bukan sahaja menjadi budaya pendidikan rohani yang relevan, tetapi juga merentasi sempadan ruang dan waktu.

Penyampaian cenderahati oleh Ustazah Balqis kepada Dr Abd Jalal

Dalam ucapan perasmian program Podcast : The Hafiz Journey, Ustazah Balqis telah menyampaikan beberapa pesanan dan nasihat yang sangat bermakna kepada semua peserta. Menurut Ustazah Balqis menekankan bahawa istiqamah adalah kunci utama dalam menjaga hafazan dan sentiasa memperbaharui niat serta sentiasa memotivasikan diri dengan mengingatkan diri tentang tujuan utama, iaitu untuk menjadi penjaga Al-Quran dan membawa kemuliaan kepada agama. Selain itu, Ustazah Balqis menggalakkan peserta untuk sentiasa menghadiri majlis ilmu khususnya pada program Podcast yang akan datang. Di akhir ucapan, Ustazah Balqis berpesan agar setiap peserta sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah untuk mempermudahkan perjalanan hafazan mereka, serta menjaga kesihatan fizikal dan mental agar dapat terus istiqomah dalam menghafal dan mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan.

Menurut peserta program Saudara Imam al Hafiez, “Program ini memberi impak besar kepada saya. Saya belajar banyak teknik hafazan yang praktikal dan mudah diaplikasikan. Saya lebih yakin untuk meneruskan perjalanan hafazan saya.

Semoga program ini dapat membantu dalam membentuk generasi Huffaz yang berkualiti serta meningkatkan penghayatan dan semangat menghafaz serta mengulang  Al-Quran dalam kalangan mahasiswa. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang untuk memberi lebih banyak manfaat kepada komuniti akademik dan masyarakat secara keseluruhan.