Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 17 Januari 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baru Cina 2025, bagi meraikan pelajar antarabangsa serta mengukuhkan semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya dalam kalangan warga universiti.
Timbalan Naib Canselor (Akadamik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli berkata, penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam membentuk persekitaran inklusif serta menggalakkan keharmonian antara kaum.
“Kami ingin memastikan pelajar antarabangsa berasa dihargai dan disambut sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI.

“Sambutan seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk mengenali keunikan budaya masyarakat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau, majlis tersebut menjadi platform penting untuk membina hubungan erat antara pelajar tempatan dan antarabangsa.
“Majlis ini bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya, malah turut memupuk rasa hormat dan pemahaman antara pelajar dari latar belakang yang berbeza.


“Kami di UPSI amat komited untuk membentuk komuniti kampus yang harmoni dan menyokong pembelajaran holistik.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baru Cina 2025 bertempat di Ruang Rehat Teduhan Auditorium, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI
Jelas beliu, acara seumpama ini selaras dengan aspirasi universiti untuk mempersiapkan pelajar dengan nilai-nilai global.


“Kepelbagaian budaya adalah kekuatan kita. Dengan memahami dan menghargai budaya lain, pelajar UPSI dapat berkembang sebagai individu yang lebih empati dan bersedia untuk menghadapi dunia global,
Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti tarian singa, tarian kipas dan muzik tradisional Cina.
Tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional Tahun Baru Cina, antaranya yee sang, dumpling, dan kuih bulan.
