Oleh: Akimi Lotfi Aminudin
Tanjong Malim, Februari 2025 – Kajian inovatif oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menzahirkan hubungan penting di antara kecergasan fizikal dan prestasi akademik dalam kalangan atlet pelajar Program Malaysia Juara. Kajian yang dibiayai di bawah Geran Bitara FSSK MJ menawarkan data bernilai tinggi yang berpotensi merubah pendekatan terhadap latihan dan pendidikan atlet pelajar.
Diketuai oleh Pensyarah FSSK, Dr. Ebby Waqqash Mohamad Chan, kajian ini melibatkan 153 atlet pelajar daripada pelbagai jenis sukan. Hasil kajian bukan sahaja memaparkan data kecergasan berkualiti tinggi, malah berjaya menetapkan penanda aras normatif baharu. Data ini akan menjadi rujukan penting bagi UPSI dalam memperkukuh kriteria kemasukan atlet pelajar serta sebagai aset intelektual universiti.


Pengesahan ujian kecergasan dan analisis data yang teliti dikendalikan oleh pensyarah FSSK, Dr. Siti Musliha Mat Rasid dalam memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan hasil kajian.


Kajian ini membantu memahami bagaimana atlet pelajar menguruskan keseimbangan antara sukan dan akademik dan menjadi rujukan penting dalam membentuk dasar pembangunan atlet masa hadapan.
Program Malaysia Juara, yang bernaung di bawah FSSK, menawarkan jadual kelas fleksibel dari 10.00 pagi hingga 4.00 petang. Pendekatan ini membolehkan atlet pelajar memberi tumpuan yang seimbang kepada latihan dan pembelajaran, sekaligus mengoptimumkan prestasi dalam kedua-dua bidang.
UPSI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam mengintegrasikan kecemerlangan sukan dengan pencapaian akademik, memastikan pembangunan holistik atlet pelajar menuju masa depan yang cemerlang.

