Oleh: Profesor Madya Dr. Ali Md Nadzalan

Tanjung Malim, 28 Januari 2025 – Satu bengkel ‘Improving the Technique and Power of Punch’ telah dianjurkan di MARINA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bengkel ini disampaikan oleh dua orang professor bidang sukan tempur dari Universiti of Split, Profesor Goran Kuvačić dan Profesor Saša Krstulović sebagai salah satu pengisian sempena lawatan kerja Projek Erasmus ke Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI.

Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 11 pagi ini melibatkan 10 orang atlet taekwondo UPSI yang sedang dalam fasa persediaan menjelang kejohanan-kejohanan utama dalam negara.

Kedua-dua Profesor tersebut, yang pakar dalam biomekanik dan teknik sukan tempur, memberikan demonstrasi praktikal yang berfokus kepada aplikasi kekuatan otot, ketangkasan, dan teknik biomekanik untuk menghasilkan tumbukan yang lebih bertenaga dan efektif.

Menurut salah seorang atlet taekwondo UPSI, Muhammad Hanif Badrul Hisham, sesi tersebut sangat bermanfaat dan memberikan perspektif baru mengenai latihan kekuatan dan kecekapan pergerakan.

“Ilmu yang disampaikan membuka mata kami terhadap pentingnya penyesuaian teknik tumbukan mengikut sains sukan, yang pastinya akan memberi kelebihan dalam pertandingan,” kata atlet tersebut.

Program ini juga mencerminkan usaha UPSI dalam memperkasakan bakat unggul para pelajar termasuk dalam bidang sukan dengan melibatkan pakar antarabangsa untuk berkongsi kepakaran.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Ketua Unit Kecemerlangan Sukan Pelajar, Pusat Sukan UPSI, Encik Mohd Faiz Zabri yang menyatakan penghargaan kepada profesor jemputan dari Croatia.

“Ini adalah peluang emas untuk meningkatkan kualiti atlet kita, selain membuka pintu kepada potensi kerjasama penyelidikan dengan institusi luar negara,” katanya.

Semoga sesi seperti ini dapat terus dianjurkan bagi menyemarakkan pembangunan atlet sukan di UPSI dan melahirkan juara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.