Oleh: Profesor Madya Dr. Ali Md Nadzalan

Tanjong Malim, 28 Januari 2025 – Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menerima kunjungan kerja dua profesor dari Fakulti Kinesiologi, University of Split, Croatia, iaitu Profesor Goran Kuvačić dan Profesor Saša Krstulović, di bawah inisiatif kerjasama antarabangsa ERASMUS+.

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik serta meneroka peluang kolaborasi dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan antara kedua-dua institusi.

Program yang berlangsung sepanjang hari dimulakan dengan bengkel bertajuk ‘Improving the Technique and Power of Punch’, bertempat di MARINA UPSI.

Bengkel ini melibatkan atlet taekwondo UPSI yang sedang giat membuat persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan utama tahun 2025.

Seterusnya, sesi mesyuarat kerjasama telah diadakan bersama ahli pengurusan fakulti bagi membincangkan hala tuju strategik dan peluang kerjasama akademik dalam bidang sains sukan.

Mesyuarat tersebut disusuli dengan majlis menandatangani Letter of Intent (LoI), yang melambangkan komitmen jangka panjang antara UPSI dan University of Split dalam memajukan penyelidikan, pembangunan bakat, dan aktiviti mobiliti pelajar serta staf akademik.

Majlis diteruskan dengan jamuan makan tengah hari bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Rahim bin Razalli, bagi meraikan delegasi dari Croatia dan mempererat hubungan akademik antara kedua-dua pihak.

Program diakhiri dengan lawatan rasmi ke fasiliti dan kemudahan UPSI, termasuk makmal, pusat latihan, dan infrastruktur sukan yang lain.

Menurut Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria, projek ini membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih luas dalam bidang sains sukan, seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, pembangunan kurikulum, serta penyelidikan bersama yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara UPSI dan University of Split, sekali gus meningkatkan kehadiran UPSI di pentas antarabangsa dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan.