Oleh: Dr. Intan Farahana Abdul Rani
24 Januari 2025, NCDRC- Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program All Rounded Glamping 2.0 UPSI sepanjang cuti sekolah bermula pada 20 hingga 24 Januari lalu.
Program yang bertujuan menyediakan pengalaman berkhemah dan aktiviti luar kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun ini menerima sambutan positif dari peserta dan ibu bapa. Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan termasuk Happy Camper, Camp on Fire, Backwood Cooking, I Lost in Jungle dan Water Purifying. Aktiviti-aktiviti ini direka untuk memberi peluang kepada peserta mengasah kemahiran bertahan hidup, mengukuhkan kemahiran fizikal, serta meningkatkan kecekapan mereka dalam situasi luar biasa.



Modul-modul yang ditawarkan dalam program ini meliputi pelbagai aspek, antaranya aktiviti fizikal seperti Brisk Walk di sekitar kawasan UPSI, Zumba Time di UPSI Adventure Park, serta Obstacle Games di Padang NCDRC. Selain itu, peserta turut diberi peluang untuk mempelajari teknik masakan luar seperti Backwood Cooking yang melibatkan penyediaan makanan menggunakan cara tradisional.


Di samping itu, aktiviti seperti Fire Starter, Tent Crafter, dan Wilderness Night memberi pengalaman langsung dalam membina perkhemahan, membuat api dan meneroka alam semula jadi. Program ini juga melibatkan modul keselamatan air yang mengajar peserta mengenai Personal Floatation Device (PFD) dan keyakinan air, dengan aktiviti di kolam UPSI.
Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kemahiran fizikal dan survival, tetapi turut memperkukuhkan nilai- nilai kerjasama, kepimpinan, dan penyelesaian masalah dalam kalangan peserta. Semua aktiviti dijalankan dengan pemantauan yang rapi, memastikan keselamatan peserta sepanjang program berlangsung.
Program ini berakhir dengan penyerahan sijil penyertaan pada majlis penutupan pada 24 Januari kepada setiap peserta sebagai pengiktirafan atas usaha dan penglibatan mereka. Dengan kejayaan pelaksanaan program All Rounded Glamping 2.0, NCDRC sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam menyediakan pengisian cuti sekolah yang bermanfaat, berfaedah dan menyeronokkan bagi kanak-kanak.
