Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Alniska Saidin, Mazlini Adnan & Mohd Ihsan Mohamad Ismail

Pulau Pangkor, Perak- Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang signifikan dengan iklim di Malaysia amat mempengaruhi kegiatan sosio ekonomi komuniti di Malaysia termasuk di Pulau Pangkor, Perak. Pendedahan kepada pelajar UPSI melalui Pelajar Kursus Kaji Iklim di lapangan Pulau Pangkor dapat memberi peluang kepada mereka berkongsi ilmu mengenai Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) telah berjaya dilaksanakan dari 19 hingga 22 Disember 2024. 

Pelajar juga berpeluang menemui penduduk tempatan khususnya nelayan yang mengadaptasi kegiatan nelayan dengan fenomena Monsun Timur Laut terhadap penduduk di Pulau Pangkor. Selain itu, penduduk tetap malah pelancong tempatan dan pelancong antarabangsa juga ditemui dalam memahami pengetahuan dan adaptasi mereka dalam kegiatan harian dan pelancongan mereka.

Program ini merupakan sebahagian daripada kursus HGF3073 Kaji Iklim yang dikendalikan di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ini merupakan kajian lapangan yang diadakan di Pulau Pangkor dengan penyertaan seramai 60 orang pelajar dan 6 orang fasilitator.

Kajian ini dilakukan di beberapa lokasi utama di Pulau Pangkor untuk mendapatkan data yang komprehensif mengenai pengetahuan dan adaptasi Monsun Timur Laut terhadap penduduk, pelancong, dan komuniti pesisir. Lokasi-lokasi yang dipilih didasarkan pada keunikan demografi dan kepelbagaian aktiviti ekonomi yang berkait rapat dengan fenomena Monsun Timur Laut. Aktiviti dimulakan di Pekan Pulau Pangkor melalui kaedah soal selidik, pemerhatian, dan temu bual untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi serta strategi yang diambil oleh penduduk setempat dalam menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca yang ekstrem semasa Monsun Timur Laut. Maklumat yang diperoleh memberikan gambaran mendalam mengenai pengaruh cuaca terhadap kehidupan dan ekonomi komuniti tersebut.

Aktiviti telah dilaksanakan di Pantai Teluk Nipah, sebuah kawasan yang menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan. Aktiviti soal selidik di lokasi ini melibatkan pelancong, nelayan, dan peniaga kecil di sekitar pantai. Tujuan utamanya adalah untuk memahami persepsi dan pengalaman mereka berhadapan dengan perubahan cuaca serta kesannya terhadap perniagaan dan aktiviti pelancongan.

Kawasan yang telah dijalankan di Kampung Nelayan Teluk Dalam dan Kampung Sungai Pinang. Pantai Teluk Dalam merupakan perkampungan nelayan pertama yang terletak di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Perkampungan nelayan ini memberikan perspektif unik mengenai kehidupan masyarakat nelayan yang terjejas akibat perubahan iklim dan pengaruh Monsun Timur Laut (MTL). Pihak bertanggungjawab kelak dapat membuat langkah mitigasinya kelak.

Para pelajar dapat belajar mengenai cara nelayan di kawasan ini menyesuaikan diri dengan cabaran cuaca ekstrem, termasuk perubahan pola tangkapan ikan dan gangguan ekonomi. Lawatan ini memberikan pengalaman langsung kepada peserta mengenai realiti yang dihadapi oleh komuniti pesisir pantai. Data yang diperoleh melengkapkan gambaran keseluruhan tentang kesan cuaca terhadap kehidupan masyarakat di Pulau Pangkor.

Kegiatan ini dijayakan dengan sokongan oleh Pusat Kokurikulum Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Perak di Pulau Pangkor. Ini memberi pengalaman kepada pelajar berkhemah dan berdikari dalam melaksanakan aktiviti dengan skala mencari pengalaman baru.

Destinasi berikutnya adalah Masjid Terapung, Teluk Gedong, di mana sesi temu bual  dilaksanakan untuk memperoleh pandangan pelancong dan penduduk setempat mengenai fenomena Monsun Timur Laut. Pengumpulan maklumat ini bertujuan untuk memastikan data yang diperoleh relevan dan memenuhi objektif kajian yang dijalankan.

Program berakhir dengan lawatan ke Masjid Al Khairiyah@Masjid 1000 Doa, sebuah masjid yang unik, simbol keharmonian budaya antara komuniti Melayu dan Cina di kawasan tersebut. Seni bina masjid ini menggabungkan elemen tradisional Cina dengan ciri-ciri Islamik, menjadikannya simbol perpaduan dan toleransi antara masyarakat setempat yang hidup dalam suasana saling menghormati. Aktiviti ini juga berfungsi menjadi bahan pelancongan kepada pelajar secara tidak langsung khususnya pelajar dari Borneo.

Program ini diakhiri dengan satu sesi para peserta bersama-sama dengan fasilitator berganding bahu dalam sesi ramah mesra juga berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, memperkukuhkan interaksi mesra antara fasilitator dan peserta, serta memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, toleransi, dan semangat kekeluargaan dalam suasana yang santai dan harmoni.

Secara keseluruhannya, penglibatan mahasiswa dalam program ini tidak hanya memberikan pendedahan langsung kepada fenomena berkaitan geografi dan alam sekitar, tetapi juga meningkatkan kesedaran mereka terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar penduduk di Perak.