Oleh: MUHAMMAD RAIS MUJAHID MOHD REDZUAN, SOFIYYUL HADI AHMAD ARIFIN
Langkawi, 27 Februari 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan terkemuka di Malaysia dengan menyumbang kepakaran akademik dalam pelbagai bidang.
Terkini, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM UPSI) telah dijemput oleh Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) untuk membantu dalam melaksanakan Kursus Pembangunan Modul Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) Tahun 2025.
Inisiatif ini bertujuan membangunkan modul latihan komprehensif yang sejajar dengan keperluan semasa bagi memastikan Pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) menerima latihan berkualiti tinggi.
Program yang akan berlangsung dari 21 hingga 27 Februari 2025 di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Utara, Langkawi, Kedah ini turut melibatkan kehadiran pakar-pakar akademik dari UPSI yang diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Ridhuan bin Mohd Jamil, seorang pensyarah kanan dan ketua perunding bagi projek ini.

Sesi 2 aktiviti pemetaan dan penyediaan analisis

Turut terlibat ialah Dr. Mohd Muslim Md Zalli, Dr. Mohd Syaubari Othman dan Dr. Abdul Muqsith Ahmad, yang masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang latihan, pembangunan kurikulum, dan penyelidikan penguatkuasaan.
Kerjasama ini diharapkan dapat mempertingkatkan tahap kompetensi, profesionalisme, dan integriti PPJ dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.
Objektif utama program Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) 2025 adalah untuk membina modul latihan yang komprehensif bagi memastikan pegawai memperoleh kemahiran, pengetahuan, dan sikap yang relevan dengan keperluan semasa.
Program ini juga menekankan pembudayaan ekosistem digital, perkhidmatan, dan penguatkuasaan strategik selaras dengan perkembangan teknologi terkini.
Selain itu, ia menyokong usaha mencapai kadar pengisian jawatan PPJ sebanyak 96% menjelang 2025 dengan menyediakan latihan asas kepada 200 pelatih baharu.
Inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti pegawai melalui latihan berterusan dan program penilaian berasaskan kompetensi.
Di samping itu, program ini membantu membangunkan sistem Continuous Professional Development (CPD) serta profil bakat untuk memperkukuh keupayaan sumber manusia JPJ, di samping merancang pengambilan pegawai baharu yang lebih efisien sehingga tahun 2028 bagi memastikan pengoperasian JPJ berjalan dengan lebih tangkas dan mampan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, Ts Dr Mohd Ridhuan Mohd Jamil, berkata khidmat bantuan pakar dalam program ini memberi nilai tambah yang signifikan, khususnya dalam memastikan pendekatan latihan yang lebih sistematik, berasaskan data dan keperluan sebenar pegawai di lapangan.
“Kami di UPSI percaya bahawa kolaborasi antara institusi akademik dan agensi penguatkuasaan seperti JPJ akan menghasilkan modul yang lebih efektif dan mampan, sekaligus melahirkan pegawai yang bukan sahaja cekap dalam aspek teknikal tetapi juga mempunyai kepimpinan, integriti, dan keupayaan strategik dalam menjalankan tugas mereka”.
Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia berkata, Dr. Azmi Awang, berkata Pembangunan Modul Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) 2025 ini bertujuan melahirkan pegawai yang berdaya saing, berintegriti, dan memiliki kompetensi tinggi sejajar dengan keperluan semasa.
“Melalui program ini, kami berharap dapat membina sistem profil bakat yang komprehensif untuk setiap peserta, sekaligus membolehkan kami menilai keupayaan sebenar pegawai berdasarkan prestasi, kemahiran, dan potensi mereka.
“Inisiatif ini juga akan membantu memperkukuh kecekapan sumber manusia JPJ dalam menghadapi cabaran masa hadapan.”
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Puan Rosnina Yaacob, memberi maklumbalas yang positif dengan berkata “Saya yakin bahawa program ini akan memberikan impak besar kepada sistem latihan JPJ dan menjadi asas kepada pembangunan pegawai yang lebih cekap, berdaya saing, dan mampu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
“Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa hadapan bagi melahirkan pegawai penguatkuasa yang bukan sahaja cemerlang dari segi operasi tetapi juga dalam aspek kepimpinan dan pengurusan”.
Kursus Pembangunan Modul Kursus Asas Pegawai Pengangkutan Jalan (PPJ) 2025 berlangsung selama empat hari bermula pada 21 hingga 27 Februari 2025 di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Utara. Program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan sesi latihan yang bertujuan memperkukuh kompetensi para peserta.
Program dimulakan dengan perjalanan ke lokasi kursus diikuti dengan sesi pendaftaran dan check-in penginapan pada sebelah petang. Selepas makan malam dan waktu riadah, para peserta menghadiri sesi taklimat kursus dalam slot Scene Setting, yang bertujuan memperkenalkan objektif dan hala tuju kursus secara keseluruhan.
Sesi 1 bertajuk Transformasi Pengurusan Latihan Sektor Awam: Struktur POL, yang memberi pendedahan tentang pengurusan latihan terkini dalam sektor awam.
Seterusnya, dalam Sesi 2, peserta menjalani aktiviti pemetaan dan penyediaan analisis TNA (Training Needs Analysis), LNA (Learning Needs Analysis), dan CNA (Competency Needs Analysis) khusus untuk kursus asas PPJ.
Selepas makan tengah hari, Sesi 3 memfokuskan kepada pembangunan modul kepimpinan dan kursus generik asas PPJ, sebelum diakhiri dengan Sesi 4 yang meneroka pembangunan modul fungsian, merangkumi aspek-aspek praktikal tugas PPJ.
Kemudian kursus diteruskan dengan Sesi 5, yang memberi tumpuan kepada pembangunan modul penilaian kursus asas PPJ. Selepas rehat, Sesi 6 menyaksikan pembentangan rumusan awal oleh peserta, diikuti dengan perasmian rasmi kursus oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Puan Rosnina Yaacob.
Pada sebelah petang, peserta terlibat dalam Sesi 7, yang memfokuskan kepada Profiling Modul Kursus Asas dan latihan On-the-Job Training (OJT).

Seterusnya dimulakan dengan Sesi 8, yang melibatkan pemurnian modul kursus serta penyediaan rancangan pengajaran yang lebih efektif.
Dalam Sesi 9, peserta memberi tumpuan kepada pemurnian modul penilaian, memastikan modul yang dibangunkan memenuhi standard yang ditetapkan.
Akhir sekali, Sesi 10 melibatkan dokumentasi keseluruhan modul kursus asas PPJ. Kursus diakhiri dengan makan tengah hari sebelum para peserta bergerak pulang.
Sepanjang kursus ini, peserta bukan sahaja diberikan latihan teori tetapi juga terlibat secara langsung dalam aktiviti praktikal, yang bertujuan membina keupayaan mereka dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan, selaras dengan nilai teras APJM iaitu Akauntabiliti, Profesionalisme, Jati Diri, dan Kepimpinan.
Kerjasama strategik antara Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diharapkan dapat memperkukuh lagi kualiti modul yang dibangunkan, sekali gus melahirkan pegawai yang berdaya saing, berwibawa, dan memenuhi piawaian perkhidmatan awam negara.
Dengan berakhirnya kursus ini, para peserta diharapkan dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam tugas harian mereka serta menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu perkhidmatan JPJ di seluruh negara.
Inisiatif ini membuktikan komitmen JPJ dalam melahirkan pegawai yang bukan sahaja cekap dalam tugas penguatkuasaan, tetapi juga berintegriti tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
