Oleh: Noraini Sapuan
Tanjong Malim, 25 April 2025- Unit Integriti dengan kerjasama Bahagian Governan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmennya dalam memperkukuh budaya integriti dan akauntabiliti dalam kalangan warga universiti menerusi penganjuran program Integrity Talk Siri2/2025. Program ini menggarap isu penting berkaitan etika, budaya kerja berintegriti dan tanggungjawab profesional warga universiti. Program yang berlangsung secara hibrid telah menarik penyertaan warga UPSI daripada pelbagai lapisan termasuk pihak pengurusan, pensyarah, kakitangan sokongan mahupun pelajar.

Sesi perkongsian yang disampaikan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman sangat bermakna dan menyentuh nilai-nilai teras yang membentuk jati diri warga universiti. Beliau menegaskan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan UPSI bukanlah sekadar dokumen pentadbiran, tetapi satu manifestasi prinsip hidup yang perlu dijadikan budaya dan diamalkan setiap hari oleh semua warga Universiti. Memetik dari Riwayat al-Bukhari dan Muslim “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat” serta menerapkan penghayatan terhadap ilmu dan adab yang menjadi keutamaan dalam kehidupan, ujar beliau penuh makna.
Kupasan beliau membuka ruang diskusi mengenai kesedaran etika, peranan semua pihak dalam membudayakan integriti, serta cabaran dan strategi pelaksanaan kod etika secara berkesan. Sesi turut disusuli dengan sesi soal jawab yang interaktif, di mana beberapa persoalan menarik telah diajukan oleh para peserta. Program turut mendapat sokongan dan penajaan lokasi daripada Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) melalui penyediaan fasiliti di Hab Pembelajaran Digital, lokasi yang kondusif dan bersesuaian dengan semangat pembelajaran sepanjang hayat yang digagaskan UPSI.
Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kejayaan organisasi yang berpegang teguh kepada nilai-nilai integriti, akauntabiliti dan profesionalisme, demi kecemerlangan UPSI sebagai institusi pendidikan terulung negara.

