oleh: Andrian Sam, Anderina Miloh Bugie, Primelyn Emely Sati dan Vanessa Sandy Masol.

Tanjong Malim, 26 April 2025 – Program ‘Bersih UPSI 1.0’ telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat di kawasan persekitaran kampus lama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) ini bertujuan memupuk kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa, khususnya pelajar jurusan Pendidikan Moral, mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran institusi pendidikan.

Program ini telah diketuai oleh Pengarah Program, Nur Aimah Syhafikah Mohd Jumbri. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Krestyelah Ubid, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2024/2025 UPSI, yang turut memberi sokongan moral kepada para peserta sepanjang program berlangsung.

Menurut Yang Dipertua PERMOR, Beron Justin, idea asal program ini tercetus daripada keprihatinan beliau terhadap kebersihan kampus.

“Adalah lebih baik kita bersihkan rumah kita dahulu sebelum membersihkan rumah orang lain,” ujar beliau.

Beliau menekankan bahawa kampus sebagai tempat menimba ilmu wajar dijaga dengan sebaiknya agar dapat menjadi contoh kepada masyarakat luar.

Antara kawasan yang terlibat dalam program pembersihan ini termasuklah hentian bas Pintu Timur, kawasan sekitar Bangunan Fakulti Sains Kemanusiaan, Dewan Kuliah Pusat, Perpustakaan Tuanku Bainun, Dewan SITC dan banyak lagi lokasi strategik di kampus lama.

Para peserta telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 15 beg plastik sampah bersaiz besar yang terdiri daripada sisa plastik, kertas, dan sampah domestik lain.

Program ini bukan sahaja memberi impak kepada kebersihan fizikal kampus, tetapi juga menyemai nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan semangat cintakan alam sekitar.

Melihat kepada kejayaan penganjuran kali ini, Persatuan Pendidikan Moral telah menetapkan bahawa ‘Bersih UPSI’ akan dijadikan sebagai program tahunan yang wajib disertai oleh ahli persatuan dan terbuka kepada semua warga UPSI.

PERMOR turut menyuarakan hasrat untuk meluaskan skop program ini dengan menganjurkan sesi pembersihan di Kampus Baru UPSI pada sidang hadapan.

Langkah ini diambil bagi memastikan kedua-dua kampus sentiasa berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa untuk seluruh warga universiti.

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama semua pihak. Semoga UPSI terus menjadi kampus contoh yang bersih, harmoni dan kondusif untuk pembelajaran.