Oleh: Fatin Athirah Pathe Mohammad She’leh

Tanjong Malim, 23 April 2025 – Satu program bertajuk Telusuri Kisah Wanita mulia dalam Islam telah dianjurkan oleh Lajnah Helwi di bawah anjuran kelab Al- Mursyidin dengan kerjasama Persatuan Gagasan Islam Upsi dan beberapa Persatuan muslimah luar melalui siaran langsung di Instagram (Live IG Helwi AMC).

Program ini berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan bertujuan untuk membuka tirai kisah-kisah wanita hebat dalam Islam sebagai sumber inspirasi dan motivasi buat Muslimah masa kini.

Program ini menampilkan Nur Hidayah Mohd Yusni sebagai moderator yang merupakan Timbalan Raisah Helwi sidang 2024/2025.

Sesi beramah mesra turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara peserta dan panel uatam dalam talian, iaitu Nur Syahirah Mat Lazim selaku mantan Exco Latihan dan Perpaduan Kelab Sahabat Ulul Albab sidang 2024/2025.

Dalam perkongsian ini, para panel membawakan kisah-kisah ketabahan dan keimanan tokoh-tokoh wanita Islam seperti Sayidatina Khadijah ra, Sayidatina Aisyah ra, dan Sumayyah binti Khayyat ra, serta menekankan nilai-nilai murni seperti keberanian, kesetiaan, ilmu, dan pengorbanan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, program turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif, di mana peserta bertanya tentang bagaimana menerapkan nilai-nilai daripada kisah wanita-wanita dalam cabaran kehidupan moden.

Para panel juga mengingatkan bahawa setiap Muslimah, walaupun dalam peranan berbeza, tetap berpeluang menjadi insan mulia di sisi Allah dengan membina iman, memperkasa akhlak, serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Program ini diakhiri dengan sesi penggulungan dan sesi fotografi sebagai kenangan. Diharapkan perkongsian ini dapat membangkitkan semangat peserta untuk meneladani sifat-sifat wanita mulia dan berusaha menjadi Muslimah yang unggul dalam segala aspek kehidupan. Semoga segala usaha ini diberkati Allah dan membawa kebaikan berpanjangan kepada ummah.